Saturday, December 28, 2024
HomeBREAKING NEWSMIDF Research: Pemulihan eksport negara terus kukuh

MIDF Research: Pemulihan eksport negara terus kukuh

Bagi 2021 MIDF Research mengunjurkan eksport dan import negara melantun semula masing-masing kepada +5.3 dan +6.0% tahun ke tahun disokong pemulihan perdagangan antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Pemulihan eksport Malaysia terus kukuh pada Nov di tengah-tengah peningkatan semula kes COVID-19 di seluruh dunia, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini berkata, eksport Malaysia meningkat dengan stabil sejak kejutan awal daripada pandemik pada April dan Mei, sejajar dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi di seluruh dunia dan mendapat manfaat daripada pemulihan China, rakan dagang utama negara ini.

Bagi tahun ini, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport dan import negara masing-masing pada -2.5 dan -6.9%.

“Setakat ini bagi tahun ini, eksport jatuh -2.6% tahun ke tahun, melepasi unjuran awal kami iaitu -3.5% tahun ke tahun bagi tahun ini.

“Sementara itu, pemulihan import agak perlahan, terus mencatat pertumbuhan negatif sejak Mei, terutama disebabkan prestasi lemah barang perantaraan dan barang modal yang menunjukkan bahawa kebanyakan pengeluar tempatan masih lagi kurang yakin,” katanya.

MIDF Research berkata, setakat ini bagi tahun ini, import menyusut -7.0% tahun ke tahun, jauh daripada unjuran awal, iaitu 5.1% tahun ke tahun.

“Sehubungan dengan itu kami menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport bagi 2020 kepada -2.5% tahun ke tahun, lebih baik daripada yang dijangkakan pada awalnya, dan unjuran pertumbuhan import kepada -6.8% tahun ke tahun, menunjukkan prestasi lebih perlahan daripada yang dijangkakan sebelumnya,” katanya.

Bagi 2021 MIDF Research mengunjurkan kedua-dua eksport dan import akan melantun semula masing-masing kepada +5.3 dan +6.0% tahun ke tahun, disokong oleh pemulihan perdagangan antarabangsa.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments