Wednesday, November 6, 2024
HomeBREAKING NEWSPutrajaya benar kapal bukan konvensyen masuk habiskan stok barangan di gudang

Putrajaya benar kapal bukan konvensyen masuk habiskan stok barangan di gudang

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri berkata, kebenaran pergerakan kapal bukan konvensyen berkuat kuasa sehingga 15 Jan depan, susulan lambakan stok barangan di gudang pelabuhan di Sandakan dan Tawau. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Putrajaya bersetuju membenarkan semula pergerakan kapal bukan konvensyen (NCS) bagi aktiviti pemindahan serta penghantaran baki stok barangan sedia ada di gudang pelabuhan di Sandakan dan Tawau.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri berkata, kebenaran pergerakan NCS berkuat kuasa sehingga 15 Jan depan, susulan lambakan baki stok barangan.

Beliau bagaimaapun tidak memperincikan stok barangan berkenaan.

“Kerajaan Sabah sebelum ini tidak membenarkan NCS untuk memasuki perairan negeri bagi tujuan ‘barter trade’ dan pemindahan (barangan) sebagai langkah menyekat penularan wabak COVID-19.

“Bagaimanapun, MKN Sabah memaklumkan terdapat keperluan untuk membenarkan pergerakan NCS bagi aktiviti pemindahan bagi penghantaran lambakan baki stok barangan sedia ada,” katanya dalam sidang media.

Sementara itu Ismail berkata, sidang khas MKN semalam turut bersetuju membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa kecuali UK ke institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat di negara ini, berkuat kuasa 1 Jan depan.

Tambahnya, kemasukan pelajar terbabit akan diuruskan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) dan perlu mengikuti garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen, MKN dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dari semasa ke semasa.

“Ia juga hanya tertakluk kepada pelajar sedia ada yang diluluskan permohonan dan mendapat visa imigresen.

“Pelajar perlu lakukan ujian saringan COVID-19, tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara.

“Mereka perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan. Kos ujian COVID-19 dan kuarantin perlu ditanggung pelajar berkenaan,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments