PETALING JAYA: Beberapa hari sebelum 2020 melabuhkan tirainya, penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan sempat melahirkan single baharunya berjudul ‘Salah Tapi Baik’ yang mengisahkan perjalanan seninya selama 10 tahun.
Bermula dengan single pertama, kerjaya beliau berjalan dengan cemerlangnya, namun itu tidak bermaksud Cakra tidak pernah mengalami kisah duka, pahit dan jerih seperti lagu-lagu hits yang pernah dinyanyikan beliau.
Pengalaman pahit yang dilaluinya menjadikan Cakra seorang yang kuat dan semakin kendiri.
Suara emas yang dimilikinya disertai dengan penghasilan yang tidak pernah putus, membuatkan namanya tidak pernah luput dan lagu-lagunya sering kali ditunggu-tunggu kemunculannya oleh peminat setianya.
Segala yang dilalui oleh Cakra selama sedekad, banyak mengajar dirinya. Tentang hidup, cinta, salah dan baik.
“Ada bahagia tapi tak bersama” merupakan salah satu bait lirik yang terdapat dalam lagu ‘Salah Tapi Baik’.
Sebuah lagu yang menyentuh hati tentang pengalaman yang mendewasakan dan kematangan diri. Membawa maksud bahawa tidak semua perkara itu tidak baik, kerana rindu dan doa adalah perkara yang baik.
Cakra sendiri mengaku bahawa beliau sangat bangga dan terharu diberi kepercayaan membawakan lagu ini.
Sebuah lagu yang merupakan hadiah daripada 3 individu penting yang menjadi saksi perjalanan hidupnya dari hari pertama lagi iaitu William Chow, Putri Rahartana dan sahabat karibnya, Ade Govinda.
“Ini adalah karya paling istimewa sepanjang kerjaya saya, bukan hanya indah, lagu ini sangat dekat dengan perasaan dan hati saya”.
“Ia adalah lagu “easy listening” yang menumpukan kepada liriknya yang kuat dan mempunyai maksud yang mendalam,” ujarnya.
Melodi Salah Tapi Baik dicipta dengan begitu halus sekali, ditambah pula dengan suara lunak Cakra, melengkapi keindahan lagu ini.
Dilancarkan pada 18 Dis lalu dan diputarkan serentak di 18 buah stesen radio di 18 buah kota yang berbeza dengan 18 pemain muzik, konsert muzikal istimewa ‘Kisah 10 Tahun Salah Tapi Baik’ yang ditayangkan serentak oleh 18 rakan media, bukan hanya di Indonesia, tetapi juga di Malaysia.
Lagu ini boleh didengarkan di seluruh platform digital bermula pada tarikh yang sama. Ia juga boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer bermula 18 Dis.
Manakala video muzik lagu Salah Tapi Baik ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube MyMusic Records pada hari yang sama.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]