Sunday, October 20, 2024
HomeBREAKING NEWSGubahan bunga sabun dari hobi, jadi sumber pendapatan

Gubahan bunga sabun dari hobi, jadi sumber pendapatan

Bunga sabun hasil gubahan Suria yang kini dijadikan untuk menjana pendapatan. (Gambar Bernama)

Bermula untuk mengisi masa lapang, kini Suria Budin, 45, menjadikan hobi gubahan bunga untuk menjana pendapatan yang memuaskan.

“Dulu ketika suami pergi bekerja, saya gunakan masa terluang melakukan kerja-kerja menjahit tapi sejak 2018, saya beralih mempelajari cara membuat bunga menggunakan sabun kerana saya pernah melihat ibu saya membuatnya,” ujar suri rumah dari Kuala Sungai, Alor Setar ini.

Menurutnya lagi, di awal percubaan, banyak bunga yang tidak menjadi namun, lama kelamaan usahanya berhasil. Malah, ada rakan yang memuji hasil gubahannya nampak seperti bunga hidup.

Sejak itu, dia mula mengambil tempahan gubahan bunga sabun ini.

Jelas Suria, keistimewaan bunga yang diperbuat daripada sabun itu ialah ia berbau wangi dan mampu bertahan lama berbanding bunga hidup yang mudah layu.

Bahan penyediaan untuk membuatnya juga cukup mudah kerana hanya memerlukan sabun buku, air, tepung jagung, gam, putik kapas dan dawai.

“Sabun akan diparut sebelum dikisar menjadi seperti tepung dan semua bahan akan dicampur hingga menjadi doh. Saya juga letak sedikit bahan rahsia yang dibeli dari luar negara untuk mengukuhkan struktur dan mewangikan bunga sabun ini.

“Biasanya, proses menguli doh yang memakan masa sehingga empat jam, jadi anak-anak dan suami selalu membantu. Sementara doh direhatkan, saya akan mula melakar gubahan bunga di atas kertas mengikut bunga yang dimahukan pelanggan manakala keluarga membantu memasang wayar di putik kapas,” ujar ibu kepada dua anak perempuan berumur 14 dan 20 tahun ini.

Tempoh untuk menyiapkan sesebuah gubahan bergantung kepada saiz serta jumlah bunga. Jika gubahan kecil, ia mampu disiapkan dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari manakala gubahan besar boleh memakan masa sehingga sebulan.

Manakala modal untuk gubahan kecil dan besar juga berbeza. Kos juga bergantung kepada bentuk, jenis dan jumlah kuntuman bunga yang pelanggan mahukan.

“Jenis bunga yang paling banyak mendapat permintaan pula ialah bunga ros merah dan ranunculus. Harga jualan biasanya antara RM500 hingga RM1,500 tetapi ada tempahan yang saya pernah jual hampir mencecah RM2,000.

“Buat masa ini tempahan paling jauh yang diterima adalah dari Kuala Lumpur,” katanya.

Selain daripada pembeli yang membeli untuk menghias rumah masing-masing, Suria turut mendapat tempahan daripada pasangan pengantin yang mahukan bunga sabun bagi majlis perkahwinan mereka.

“Dahulu, memang ramai yang tempah bunga sabun untuk majlis perkahwinan tetapi semakin lama ia tidak mendapat sambutan kerana orang lebih gemarkan bunga hidup.

“Memandangkan bunga sabun ini mampu bertahan lebih lama berbanding bunga hidup, mungkin sebab itu ia kembali mendapat sambutan,” katanya.

PANDUAN PENJAGAAN BUNGA SABUN

Suria yang turut berkongsi panduan penjagaan bunga sabun berkata, setakat ini bunga sabun yang dihasilkannya mampu bertahan lebih dua tahun tetapi semuanya bergantung kepada cara penjagaan oleh pelanggan.

“Tip menjaga bunga sabun ini mudah sahaja. Boleh bersihkan guna kain kering atau vakum sahaja. Tetapi, paling penting jangan bersihkannya menggunakan air kerana ia boleh menjadi lembik dan memendekkan tempoh ketahanan gubahan bunga ini.

“Wangian bunga dari bahan rahsia yang diletakkan di dalam doh mampu bertahan antara enam hingga 12 bulan, tetapi selepas bau hilang saya nasihatkan pelanggan supaya jangan menyembur dengan pewangi badan kerana ia boleh menyebabkan bunga berkenaan berkulat,” katanya.

Suria berkata dia berharap dapat meluaskan pasaran gubahan bunga sabunnya itu sebagai cenderahati yang boleh dipamerkan di setiap agensi kerajaan di negeri ini selain berhasrat untuk membuka kelas mengajar membuat bunga sabun kepada golongan wanita.

“Memang banyak permintaan untuk saya adakan kelas mengajar membuat bunga sabun ini. Itu memang menjadi impian saya tetapi buat masa ini masih belum dapat direalisasikan lagi kerana sibuk sedikit dengan perkara lain,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments