Saturday, September 28, 2024
HomeBREAKING NEWSOrang Hong Kong ‘dalam buangan’ umum rancangan tubuh parlimen bayangan

Orang Hong Kong ‘dalam buangan’ umum rancangan tubuh parlimen bayangan

Simon Cheng. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Sekumpulan orang Hong Kong yang memilih hidup dalam buangan mengumumkan pelan untuk mengadakan perbincangan awam mengenai penubuhan parlimen bayangan “sebagai platform baharu bagi penduduk Hong Kong meluahkan hasrat mereka.”

Simon Cheng, bekas kakitangan konsulat Britain yang kini berada di UK, tampil sebagai salah seorang pengasas kumpulan itu pada sidang media dalam talian Khamis lalu, lapor Hong Kong Free Press.

Parlimen bayangan itu tidak berhasrat menjadi kerajaan dalam buangan atau meniru fungsi kerajaan, sebaliknya menjadi platform demokratik untuk memilih mereka yang dapat mewakili suara orang Hong Kong secara sah.

“Ini akan membantu usaha melobi di peringkat antarabangsa,” kata Cheng. “Menggunakan proses demokratik akan meningkatkan kesahan.”

Mengenai cadangan berkenaan, Cheng berkata perbincangan dalam talian selama tiga bulan sudah dilancarkan yang bertujuan mengumpulkan pandangan sama ada penubuhan parlimen bayangan munasabah.

“Jika ya, bagaimana orang Hong Kong membayangkannya dan apa yang mereka harap dapat dicapai.”

Berdasarkan dapatan rundingan tersebut, sekretariat akan mendrafkan perlembagaan sementara.

Beliau berkata kumpulan itu mempunyai lima penganjur utama dan sudah didaftarkan di AS selain dirancang untuk pendaftaran di UK.

Cheng ditahan selama 15 hari dan didakwa menggunakan khidmat pelacur di tanah besar China, tahun lalu. Susulan pembebasannya dan ketibaan di UK, beliau menceritakan penyeksaan dialaminya sepanjang dalam tahanan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments