Saturday, November 16, 2024
HomeBREAKING NEWSMenteri: Kerajaan perlu dana tambahan jika berlaku gelombang ke-4 COVID-19

Menteri: Kerajaan perlu dana tambahan jika berlaku gelombang ke-4 COVID-19

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, dana tambahan akan memberi kesan kepada tahap defisit fiskal negara.

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus memikirkan keperluan tambahan dana bagi menstabilkan ekonomi negara , sekiranya terdapat gelombang keempat jangkitan virus COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, Malaysia serta dunia secara umumnya masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan situasi pada masa kini digambarkan sebagai dinamik.

“Ada kerisauan mengenai gelombang keempat virus Covid-19 dan pada masa yang sama, kita meletak harapan bahawa keadaan akan pulih dengan adanya vaksin,” beliau berkata di dalam satu sesi perbincangan bertajuk “Prospek Ekonomi 2021: Apa Jangkaan Peniaga, Apa Harapan Orang Muda?” hari ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai tambahan dana beliau berkata, menerusi dana yang disalurkan pada masa ini kerajaan lebih memfokuskan kepada kepentingan nyawa dan pekerjaan.

“Dana sedia ada merupakan hasil pinjaman dan bukannya ada had, tetapi pada masa yang sama, ia mempunyai kesan kepada tahap defisit fiskal negara,” katanya.

Defisit fiskal negara dijangka meningkat kepada 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, iaitu peningkatan mendadak semenjak krisis kewangan dunia 2009.

Ia disebabkan oleh penambahan pakej stimulus yang diperkenalkan kerajaan bagi menangani wabak COVID-19.

Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin COVID-19 pada akhir suku pertama 2021, yang diharap akan membantu menstabilkan ekonomi negara.

“Penerimaan vaksin tersebut dijangka akan menyokong pemulihan ekonomi negara di samping usaha dan strategi menstabilkan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun ini, termasuklah Belanjawan 2021, pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments