Saturday, October 19, 2024
HomeBREAKING NEWSGuan Eng mahu Ka Siong perjelas isu penerusan perkhidmatan feri Pulau Pinang

Guan Eng mahu Ka Siong perjelas isu penerusan perkhidmatan feri Pulau Pinang

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta pengesahan daripada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berhubung perkhidmatan feri di negeri itu.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengalih sasarannya kepada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dengan menuntut penjelasan sama ada perkhidmatan feri Pulau Pinang yang bersejarah itu akan tetap ditamatkan.

Ini berikutan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abd Aziz yang berjanji minggu lepas di Dewan Rakyat bahawa perkhidmatan feri itu akan diteruskan operasinya dengan pemberian geran sebanyak RM30 juta.

“Sejak menteri itu menerima permintaan saya di Parlimen supaya perkhidmatan feri berusia 126 tahun itu diteruskan, tiada maklum balas daripada Ka Siong, SPPP atau PPSB sama ada perkhidmatan feri itu akan diteruskan seperti diarahkan.

“Beliau (Tengku Zafrul) juga mengesahkan bahawa saya meletakkan syarat secara bertulis ketika menjadi menteri kewangan, agar perkhidmatan feri Pulau Pinang diteruskan dengan pembayaran insentif tunai RM30 juta kepada PPSB.

“Bagaimanapun Ka Siong dan pengerusi SPPP, Tan Teck Cheng memutuskan untuk menamatkan terus perkhidmatan feri itu pada 31 Dis ini tanpa mempedulikan sentimen berhubung nilai sejarah dan warisannya yang unik,” kata Lim dalam kenyataan.

Beliau berkata, Tan nampak “terkejut” ketika ditanya oleh media mengenai keputusan kerajaan pusat untuk meneruskan perkhidmatan feri.

“Sekiranya Wee dan Tan memilih untuk mengingkari arahan menteri kewangan dengan berpura-pura bahawa tidak ada perubahan dalam keputusan untuk menamatkan perkhidmatan feri, maka ia akan mencetuskan pertikaian undang-undang,” kata Lim.

PPC sebelum ini mengumumkan perkhidmatan feri Pulau Pinang, yang menghubungkan Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri itu, akan diganti dengan bot laju mulai 1 Jan 2021.

Terbaru, turut diumumkan rancangan untuk memperkenalkan katamaran bagi mengangkut penumpang antara pulau dan tanah besar Pulau Pinang.

Dikatakan dua feri sedia ada akan dihentikan perkhidmatan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments