Thursday, December 19, 2024
HomeBREAKING NEWSAir mata tukang sapu sara keluarga sendirian selepas suami hidap diabetes kronik

Air mata tukang sapu sara keluarga sendirian selepas suami hidap diabetes kronik

Mohd Suhaimi Mazli Marzuki sekeluarga tinggal di PPR Lembah Subang 2.

PETALING JAYA: Seorang tukang sapu menitiskan air mata apabila ditanya bagaimana dia akan melalui liku kehidupan apabila suaminya terpaksa dipotong jari kaki akibat kencing manis.

Normaizan Saminan, 36, yang menyewa dan bekerja di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, tidak menyangka terpaksa menyara keluarga bersendirian selepas kesihatan suaminya, Mohd Suhaimi Mazli Marzuki, 34, semakin merudum.

“Sebelum ini, suami ialah ketua keluarga, tapi kini dia ada masalah kesihatan, saya terpaksa ambil alih tugasnya,” katanya kepada FMT.

Suami Normaizan sebelum ini berniaga roti canai di rumah secara “online”, kini tidak berupaya berdiri lama disebabkan penyakitnya semakin melarat.

Normaizan Saminan dibayar RM1,2000 sebagai tukang sapu di PPR disewanya.

“Suami menghidap kencing manis sejak empat tahun lalu, kebelakangan ini penyakitnya semakin teruk, dia selalu pening dan lenguh kaki,” katanya.

Wanita itu dibayar gaji RM1,200 sebulan dan mencari pendapatan tambahan dengan menjual jajan serta ais krim buatan sendiri di rumah PPR disewanya itu.

“Lebih kurang RM1,500 untuk belanja keperluan rumah, itu tidak termasuk alat cucian luka kaki suami berharga RM50 yang perlu dibeli dua minggu sekali,” katanya.

Kos mencuci luka kaki Mohd Suhaimi Mazli Marzuki berharga RM50 yang perlu dibeli dua minggu sekali.

Rutin harian Normaizan ialah menyediakan makanan untuk keluarganya sebelum ke tempat kerja setiap pagi.

Selain suami dan anak perempuan berusia tujuh tahun, ibunya yang mengalami masalah kesihatan turut tinggal bersama mereka.

Normaizan berharap suaminya akan kembali sihat dan mereka dapat meneruskan perniagaan roti canai “online” dan roti canai sejuk beku yang diusahakan sebelum ini.

Normaizan Saminan mencari pendapatan tambahan dengan menjual jajan dan ais krim buatan sendiri di rumah PPR disewanya.

Wanita itu juga bercadang mengembangkan perniagaan, jika suaminya pulih.

“Selain berniaga roti canai, saya berhajat menjual nasi minyak, nasi tomato secara ‘online’.

“Sebelum ini tiada sebarang bantuan diterima. Baru-baru ini, saya ada minta bantuan Zakat Selangor, tapi masih dalam proses,” katanya.

Normaizan Saminan tidak menyangka terpaksa menyara keluarga bersendirian, selepas kesihatan suaminya semakin merudum.

Sementara itu, Suhaimi amat terharu dan bangga kerana mempunyai isteri yang sanggup berkorban untuk keluarga.

“Saya tidak boleh buat apa, isteri saja yang bekerja sekarang,” katanya.

Suhaimi berharap dia akan mendapat kekuatan seperti dulu dan menyara keluarga dengan tenaganya sendiri.

“Harapan saya hanya satu, dapat sembuh macam dulu,” katanya sebak mengenangkan pengorbanan isterinya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments