Tuesday, November 26, 2024
HomeBREAKING NEWSHajiji bentang Belanjawan 2021 Sabah RM4.3 bilion

Hajiji bentang Belanjawan 2021 Sabah RM4.3 bilion

Ketua Menteri Hajiji Noor ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor membentangkan Belanjawan 2021 Sabah dianggarkan berjumlah RM4.3 bilion.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, anggaran perbelanjaan belanjawan itu berbanding kutipan hasil sebanyak RM4.48 bilion dengan belanjawan lebihan sebanyak RM178.7 juta.

“Tema belanjawan negeri tahun 2021 ialah ‘Rakyat Sejahtera, Ekonomi Mampan’. Tema ini dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan dengan slogan Sabah Maju Jaya bagi menanamkan semangat, nilai murni dan kebertanggungjawaban dalam kalangan rakyat supaya bersatu dan bekerjasama membina kemajuan dan kejayaan negeri,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Hajiji berkata, belanjawan itu yang pertama selepas penularan pandemik COVID-19 selain kali pertama dibentangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Selain itu, belanjawan ini juga adalah belanjawan bagi tahun pertama pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya yang akan bermula tahun depan.

“Mengambil kira situasi semasa dan persiapan pasca COVID-19, belanjawan ini dirangka sejajar dengan keutamaan dalam mendepani cabaran pandemik ini dan menginsafi akan realiti sebahagian besar rakyat terbeban dengan kesan pandemik.

“Belanjawan ini juga strategi untuk membantu dan menjana semula ekonomi rakyat selain usaha berterusan meningkatkan akses kepada kemudahan infrastruktur utama bagi membina kehidupan rakyat yang lebih sejahtera,” katanya.

Terdahulu, dalam pembentangan belanjawan itu Hajiji turut mencadangkan peruntukan RM964.15 juta bagi tujuan pembangunan negeri.

Katanya, jumlah itu merangkumi peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM733.10 juta dan peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM231.05 juta.

Hajiji turut mengumumkan bantuan khas RM600 membabitkan peruntukan RM8.7 juta kepada semua penjawat awam negeri yang akan dibayar pada Januari tahun depan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments