Monday, November 25, 2024
HomeBREAKING NEWSPenduduk PPR diberi internet percuma

Penduduk PPR diberi internet percuma

Enam syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME akan menawarkan capaian Wifi percuma di kawasan umum di 130 Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih.

KUALA LUMPUR :Golongan isi rumah B40, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang menikmati kemudahan internet lebih baik pada suku pertama 2021, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata enam syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME akan menawarkan capaian Wifi percuma di kawasan umum di 130 Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih di seluruh negara hingga akhir April 2021.

“Waktu operasi semua Pusat Internet Komuniti (PIK) akan dilanjutkan iaitu dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata kerajaan dengan kerjasama pihak industri juga akan melaksanakan program subsidi Jaringan Prihatin untuk golongan B40 seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Program itu dijangka bermula pada Mac 2021 dan melibatkan peruntukan kredit telekomunikasi bernilai RM180 seorang atau RM15 sebulan, atau subsidi bagi menampung sebahagian kos pembelian peranti pintar kepada golongan B40, katanya.

Saifuddin berkata kemudahan data 1 gigabait (GB) percuma yang terdahulunya akan tamat pada 31 Dis ini akan dilanjutkan hingga bermulanya program subsidi Jaringan Prihatin.

Beliau berkata syarikat telekomunikasi juga akan memperkenalkan tawaran Pakej Data Khas SPM/STPM 2021 hingga tamat peperiksaan pada akhir April 2021, dengan pakej dijangka ditawarkan mulai 6 Jan depan.

“Saya berharap inisiatif-inisiatif yang ditawarkan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada golongan B40 serta memudahkan calon-calon SPM dan STPM membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments