Friday, September 27, 2024
HomeBREAKING NEWS‘Atuk’ warga Nigeria dituduh bunuh cucu, cuba rogol anak tiri

‘Atuk’ warga Nigeria dituduh bunuh cucu, cuba rogol anak tiri

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR : Seorang lelaki warga Nigeria yang dilaporkan mencampak cucu lelaki tirinya dari tingkat 3, di sebuah apartment sehingga mati didakwa di Hospital Kuala Lumpur (HKL), atas enam pertuduhan termasuk membunuh dan melakukan serangan seksual ke atas anak tirinya.

Kesemua pertuduhan terhadap penganggur Ibekwe Emeka Augustine, 42, dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Emelia Kaswati Mohamad Khalid dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Sharizzat Amadan yang mengendalikan pendakwaan, di hospital itu di sini.

Prosiding kes selama 30 minit itu berlangsung di wad hospital setelah Augustine dimasukkan ke hospital akibat kecederaan setelah terjun dari apartment itu.

Tertuduh didakwa membunuh cucu tiri lelakinya berusia empat tahun di sebuah unit apartment di Setapak di sini antara 7.45 pagi hingga 8.15 pagi, 29 Nov lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Augustine mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan serangan seksual ke atas anak tiri perempuannya berusia 25 tahun mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba membunuh diri di bawah Seksyen 309 kanun sama. Jenayah itu didakwa dilakukan pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Augustine turut mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas isterinya berusia 48 tahun. Augustine juga mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) dan morfin ke dalam badannya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Jan tahun depan untuk sebutan semula dua kes dan bagi menjatuhkan hukuman terhadap empat pertuduhan yang tertuduh mengaku bersalah.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments