Sunday, November 24, 2024
HomeBREAKING NEWSSituasi banjir di Pantai Timur membimbangkan

Situasi banjir di Pantai Timur membimbangkan

PETALING JAYA: Situasi banjir di dua negeri Pantai Timur terus membimbangkan, terbaru sebanyak 972 orang daripada 246 keluarga menjadi mangsa di Terengganu setakat 4.30 petang tadi, menurut Bernama.

Di media sosial, pengguna Twitter berkongsi video memaparkan air mengalir begitu deras di Dabong, Kuala Krai, Kelantan petang tadi.

Di Kemaman, lebih 2,000 penduduk di Kampung Seberang Tayor, Kampung Batu 16, dan Kampung Batu 14 Tebak terputus hubungan selepas jalan ke kampung mereka dinaiki air mulai 7.30 pagi tadi.

ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim berkata hujan lebat berterusan sejak petang Rabu menyebabkan limpahan air Sungai Tebak mula menenggelami jalan di beberapa lokasi.

Di Kampung Padang Kubu, majlis pengurusan komunitinya menggunakan traktor untuk menghantar bantuan kepada 50 mangsa banjir daripada 15 keluarga, selepas laluan utama ke kampung itu juga dinaiki air.

Setiausaha Sudin Muda berkata semua mangsa tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara kerana kediaman terletak di kawasan tinggi.

“Kita perlu pastikan mereka tidak terputus makanan kerana terperangkap di dalam rumah ketika ini.” katanya kepada Bernama.

Di Permaisuri, seorang wanita hamil yang menanti saat melahirkan anak meredah banjir setinggi pinggang sejauh 50m untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

Nor Hazwani Ghazali, 30, yang sarat mengandung 37 minggu, menaiki bot, kereta pacuan empat roda, dan ambulans sebelum tiba di Klinik Kesihatan Permaisuri yang terletak kira-kira lapan kilometer dari rumahnya.

“Bot fiber tidak dapat masuk ke kawasan rumah dan hanya menunggu di seberang jalan jadi saya terpaksa berjalan kaki meredah banjir dengan berhati-hati kerana risau terjatuh.

“Selepas itu bersilih ganti pula menaiki bot fiber, pacuan empat roda dan ambulans kerana beberapa jalan ditenggelami air,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Besut.

Suri rumah yang akan melahirkan anak ketiga itu bersyukur dan sangat terharu melihat kesungguhan Angkatan Pertahanan Awam memastikan beliau tiba di klinik kesihatan dengan selamat.

Suaminya berada di Kuala Terengganu ketika kejadian. Dua anaknya pula bersama ibunya.

Seorang lagi wanita, Wan Siti Zaharah Wan Ibrahim, 30, mengambil keputusan untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara kerana anak keduanya baru sahaja bersunat tiga hari lepas.

“Rumah saya tinggi. Selalunya apabila bahagian dapur yang agak rendah dinaiki air barulah kami sekeluarga pindah. Lagipun kesian anak baru bersunat mesti dia tidak selesa berada di PPS.

“Lagipun saya sudah beli barang keperluan dan makanan secukupnya kerana mengetahui setiap kali musim tengkujuh laluan masuk ke rumah akan ditenggelami air. Jadi, kami sekeluarga hanya akan tinggal di dalam rumah sahaja dan tidak dapat pergi ke mana-mana,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments