Wednesday, September 25, 2024
HomeBREAKING NEWSLapangan terbang Singapura ‘beku’ demi vaksin COVID-19

Lapangan terbang Singapura ‘beku’ demi vaksin COVID-19

SINGAPURA: Ketika pintu kereta roda yang membawa vaksin dibuka di lapangan terbang Changi, Singapura, suhu bawah paras beku di dalamnya bertembung udara panas khatulistiwa di luar menyebabkan hamparan kabus tebal.

Kereta doli sejuk itu dibeli firma logistik dnata baru-baru ini sebagai sebahagian daripada perancangan diketuai kerajaan untuk meningkatkan kedudukan republik itu sebagai hab kargo udara selain memastikan vaksin COVID-19 dapat diagihkan ke seluruh rantau ini.

Negara kota dengan 5.7 juta penduduk itu menjangkakan suntikan pertama vaksin virus korona Pfizer-BioNTech tiba di hab pengangkutan Asia Tenggara berkenaan bulan ini, selepas Singapura menjadi negara pertama di Asia yang meluluskan vaksin itu.

Bukan saja untuk keperluan sendiri, Singapura sejak beberapa bulan lalu mempertingkatkan keupayaan ‘rangkaian sejuk’ bagi memudahkan pemindahan vaksin seperti yang dihasilkan Pfizer, yang perlu disimpan dalam keadaan sejuk ekstrem.

“Cuaca di Singapura boleh mencecah 30°C atau lebih. Doli sejuk benar-benar membantu kita melindungi produk berkenaan,” kata Arman Abdul Malek, eksekutif operasi dnata, sambil membuat demonstrasi kereta roda yang dibeli beberapa minggu lalu.

Lazimnya dalam proses ‘rangkaian sejuk’, vaksin tiba menggunakan pesawat dalam peti sejuk beku lampau sebelum dimuatkan dalam doli sejuk yang dikawal suhunya, dan dipindahkan ke bilik sejuk beku di kemudahan simpanan di sekitar lapangan terbang berkenaan sebelum diedarkan.

Vaksin Pfizer, yang sudah diberikan di Britain dan AS, perlu disimpan pada suhu -70°C atau lebih rendah, iaitu bersamaan musim sejuk di Antartika.

Satu lagi vaksin keluaran Moderna yang hampir diluluskan di AS, boleh disimpan sehingga enam bulan pada suhu -20°C.

Firma pengendalian bumi Singapura, SATS, turut melabur untuk mengendalikan vaksin berkenaan termasuk membeli doli sejuk dan memperluaskan penghasilan ais kering.

“Singapura berkedudukan baik untuk menjadi hab serantau bagi penyimpanan dan pengedaran semula vaksin itu di sekitar Asia,” kata Bob Chi, ketua pegawai operasi perkhidmatan pintu masuk di SATS.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments