Sunday, September 22, 2024
HomeBREAKING NEWSBuang anggapan jawatan GLC ‘harta rampasan perang’, gesa ADUN DAP

Buang anggapan jawatan GLC ‘harta rampasan perang’, gesa ADUN DAP

Howard Lee menggesa cara mengurus tadbir GLC negeri yang agak parah dan sakit diubah, susulan pembentukan kerajaan Perak yang baharu.

IPOH: Seorang wakil rakyat pembangkang mencadangkan jawatankuasa kepimpinan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ditubuhkan bagi memastikan jawatan utama GLC tidak lagi dianggap “harta rampasan perang”.

ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How, berkata perkara itu boleh dilaksanakan dalam keterbukaan dan kematangan politik di Perak.

“Saya mengakui perkara ini tidak dapat ditangani sewaktu kita (Pakatan Harapan) menjadi kerajaan memandangkan jawatan tertinggi dalam GLC seperti ‘rampasan perang’.

“Kalau menang perang pilihan raya, kita dapat ‘rampasan perang’ yang diberi kepada ahli-ahli parti, iaitu jawatan GLC ini.

“Saya rasa dalam kesempatan yang kita ada, keterbukaan politik yang telah kita lakarkan daripada bajet ini, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2021 di Dewan Negeri Perak.

Lee berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan itu boleh dianggotai ADUN kerajaan dan pembangkang untuk memilih individu yang layak memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai kewangan (CFO) dan jawatan tinggi lain dalam GLC.

“Kebanyakan jawatan tertinggi dalam GLC dipegang rakan-rakan dari parti pemerintah, mereka kawan saya juga, saya dah kenal mereka, tetapi dalam soal nak reformasikan institusi (ia perlu).

“Dengan pertukaran kepimpinan dalam kerajaan, baik kita ubah cara urus tadbir GLC sekarang yang agak parah, agak sakit yang perlukan rawatan.”

Beliau bagaimanapun tidak menafikan kemampuan pemimpin GLC negeri sedia ada, cuma dalam keadaan semasa yang getir, perkara itu agak sukar.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments