Thursday, September 19, 2024
HomeBREAKING NEWSSelepas Top Glove, Hartalega, Kossan pula lapor kes Covid-19

Selepas Top Glove, Hartalega, Kossan pula lapor kes Covid-19

Setakat ini, kes Covid-19 dilaporkan oleh sekurang-kurangnya tiga syarikat pengeluar sarung tangan di negara ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kossan Rubber Industries menjadi syarikat pengeluar sarung tangan terbaru yang merekodkan kes Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.

Seorang jurucakap memberitahu FMT, “ada beberapa kes” susulan saringan di tempat kerja yang dijalankan bermula minggu lalu, namun enggan memberikan bilangan pekerja yang disahkan positif.

“Kami tidak dapat mengesahkan apa-apa sehingga Kementerian Kesihatan mengumumkannya.

“Kes berlaku di kawasan Klang dan tidak akan menjejaskan semua kilang kami.”

Jurucakap itu berkata, saringan masih diteruskan.

Pengilang sarung tangan Hartalega mengumumkan 35 kes Covid-19 dalam kalangan pekerjanya minggu lalu.

Terdahulu, Top Glove terus “berjuang” untuk mengatasi sejumlah kes selepas mengesan jangkitan dalam kalangan pekerjanya bulan lalu.

Sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia, kilang Top Glove di Meru dikesan sebagai pusat kluster Teratai – yang terbesar di negara ini.

Kluster Teratai mencatatkan sembilan kes baharu hari ini. Terdapat 5,540 kes berkait dengan kluster itu, yang kebanyakannya pekerja Top Glove.

Semalam, Top Glove mengesahkan seorang pekerjanya meninggal dunia akibat Covid-19.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments