Sunday, November 24, 2024
HomeBREAKING NEWSKarya seni, hadiah buat petugas barisan hadapan

Karya seni, hadiah buat petugas barisan hadapan

Karwai bersama lukisan-lukisan yang akan disumbangkan serta lukisan yang didedikasikan untuk Pengarah Kesihatan – Dr Noor Hisham Abdullah. (Gambar Karwai Chan)

IPOH: Siapa sangka, 2020 adalah tahun yang sangat mencabar buat sistem kesihatan negara. Virus korona adalah penyebab kesulitan dunia.

Di Malaysia, petugas barisan hadapan bertungkus lumus bekerja di bahagian masing-masing, mempertaruhkan nyawa bagi memastikan negara dilindungi dan mengubati mereka yang dijangkiti.

Karwai Chan melihat setiap pergerakan ini, hatinya berdetik untuk melakukan sesuatu.

Berus dicapai dan dia terus melukis, selama berminggu-minggu tanpa henti. Lakaran dibuat satu persatu mencerminkan ketabahan dan kesabaran petugas barisan hadapan dengan tugas yang tidak menentu.

Dia terus pergi jauh, usaha kolaborasi dilakukan dengan ‘Love Malaysia Organization’ melalui kempen ‘I Support Frontliners thru Art’ dimulakan.

Melalui kempen itu dia berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM5 juta melalui lukisannya yang masing-masing bernilai sekitar RM1 juta setiap satu. Semua keuntungan kemudiannya akan didedikasikan untuk wira-wira negara yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk melawan wabak ini.

Tanda sokongan dari Perdana Menteri di Facebook rasminya. (Gambar Karwai Chan)

Usaha kecilnya itu kemudian berkembang dan seterusnya menjadi kejayaan terbesar dalam karier hidupnya.

Hasil seni Karwai membanjiri media malah, telah menarik perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang secara terbuka telah menyatakan sokongan terhadap kempen tersebut.

“2020 adalah tahun terbaik dalam hidup saya. Saya rasa seperti diberkati atas usaha yang dilakukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ia dilakukan dari lubuk hati saya sendiri, semata-mata ingin membantu memerangi pandemik,” kata Karwai.

Sejak dari itu, liputan media telah membuka pintu, bukan hanya baru tetapi juga yang lama. Lukisan Karwai yang lama turut diberi perhatian.

Tanda sokongan dari Perdana Menteri di Facebook rasminya. (Gambar Karwai Chan)

Lukisan minyak hiper-realistik artis ini bukan hanya menarik perhatian peminat kereta tetapi juga syarikat terkemuka di dunia perlumbaan seperti Formula 1, McLaren dan Aston Martin.

Karwai kemudiannya bertugas untuk semua syarikat ini.

Setiap lukisan memerlukan masa sekitar satu bulan untuk diselesaikan dan setiap karyanya, Karwai meluahkan dengan penuh ketulusan.

“Semasa melukis, saya cuba mendalami asas subjek kerana ingin menterjemahkan semangat mereka ke dalam kanvas saya. Saya menerapkan inspirasi melalui hasil bacaan tentang kehidupan setiap pelumba.

“Saya sangat tersentuh dengan kekuatan mereka dan mengagumi tumpuan mereka. Secara peribadi, saya sangat teruja dengan ketahanan dan semangat juang mereka kerana ia mengingatkan saya akan perjalanan hidup saya sendiri,” ujar Karwai.

Lukisan ‘mimik’ McLaren di bilik pameran McLaren. (Gambar Karwai Chan)

Menyingkap kehidupan masa silamnya, Karwai mendedahkan bahawa dia pernah menjadi mangsa pengalaman buli trauma di sekolah dan dia menghadapi kehilangan emosi yang mendalam setelah kematian ayahnya secara tiba-tiba pada usia 14 tahun.

Melalui seni Karwai meluahkan segalanya dan sejak itu ia menjadi tempat perlindungan yang selamat dan selesa buatnya.

“Kehidupan lalu membuatkan hati saya hancur tetapi saya bernasib baik kerana kehilangan dan kesepian itu saya warnai dalam dunia lukisan saya,” ujarnya.

Menurut Karwai, Van Gogh adalah inspirasi utama untuk seninya, malah, dia tidak mengambil mana-mana kursus lukisan, semuanya berbekalkan bakat dan minatnya.

Di sekolah, dia berjimat dan wang belanja tersebut digunakan untuk membeli peralatan seni. YouTube pula menjadi ‘guru’ dan sumber pembelajarannya.

Dia juga terkejut apabila lukisan pertamanya berjaya dijual pada harga RM500. Waktu itu dia baru berusia 14 tahun.

Ini memberi inspirasi kepadanya untuk meneruskan kerjaya sepenuh masa dalam bidang seni setelah menamatkan sekolah menengah.

Lukisan menggambarkan sungai yang tenang pada waktu malam (di sebelah kanan bawah) ini adalah lukisan pertama yang dijualnya dengan harga RM500 ketika berusia 14 tahun. (Gambar Karwai Chan)

Di awal kariernya, Karwai meragui kebolehannya sendiri apatah lagi dia tidak memasuki mana-mana sekolah lukisan.

“Saya rasa seni saya kurang bernilai dan nilai yang sebenar adalah karya mereka yang bersekolah seni,” ujarnya.

Lebih mendukacitakan apabila keluarga dan teman-teman turut tidak memberi sokongan terhadap kerjaya yang dipilih pada awal penglibatannya. Maka, Karwai harus percaya pada dirinya sendiri.

Tetapi, segalanya berubah dua tahun lalu, apabila karya seninya dilelong dengan harga S$3800 (kira-kira RM11,565) dalam satu lelongan di Singapura.

Karwai sememangnya tidak pernah menyangka bahawa seninya akan dihargai dengan harga yang begitu tinggi – apa tah lagi pada asalnya, dia meletakkan hanya RM1,000.

Karwai kini menumpukan untuk mengumpul dana buat petugas barisan hadapan. (Gambar Karwai Chan)

Kini, Karwai merasa yakin dengan dirinya sendiri malah melukis adalah satu terapi buat diriya.

“Ia seperti kanvas bercakap dengan saya. Saya berasa selesa kerana dapat mengekspresikan diri di atas kanvas dan saya ingin terus mencipta karya seni yang boleh membangkitkan emosi orang lain,” katanya.

Lukisan dari arang, dedikasi buat George Floyd dan perjuangan terhadap Black Lives Matter. (Gambar Karwai Chan)

Karwai merancang untuk melangkah ke dunia seni pemasangan dan ingin sekali berinteraksi dengan penonton dalam taliannya melalui topik penting seperti kesinambungan.

Menjadi sebahagian dari era baru di mana media sosial telah mengambil alih dunia, penglibatan dalam talian memainkan peranan penting dalam karya seni dan kariernya. Karwai menyeru para pelukis untuk menghantar karya mereka dalam talian.

“Di masa muda inilah, anda perlu lakukan apa yang anda mahu. Tumpukan kepada apa yang anda inginkan dan terus fokus terhadap perjalanan anda sendiri. Lakukan saja apa yang dicari oleh hati dan pastikan anda menyukai pekerjaan yang anda lakukan,” katanya lagi.

Sokong dan temui lebih banyak karya seni Karwai di Instagram dan laman website, atau sumbangkan kepada ‘I Support Frontliners Thru Art’ melalui akaun Maybank Pertubuhan Cintai Malaysia (PCM) di 5627 5969 0033.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments