Friday, January 10, 2025
HomeBREAKING NEWSTakiyuddin ‘menteri penyelaras’ antara Putrajaya dan Kedah, kata setpol menteri

Takiyuddin ‘menteri penyelaras’ antara Putrajaya dan Kedah, kata setpol menteri

Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendedahkan Takiyuddin Hassan turut dilantik ‘menteri penyelaras’ antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Kedah, selepas tersebar tangkap layar perbualan beliau dan menteri kewangan mengenai projek pembangunan di negeri itu.

Peranan Takiyuddin sebagai ‘penyelaras’ antara Putrajaya dan Kedah yang tidak diketahui umum sebelum ini mendorong setiausaha politik beliau, Wan Rohimi Wan Daud, membuat penjelasan mengenai peranan Takiyuddin.

Wan Rohimi berkata tangkap layar perbualan Takiyuddin dengan Tengku Zafrul Aziz berhubung sebuah projek di Kedah sengaja dipetik “di luar konteks” dengan niat “curang” untuk membina persepsi negatif dan mencemarkan nama baik pihak berkaitan.

Perbualan itu dilaporkan merujuk kepada penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dan sebuah syarikat swasta sebagai rakan usahasama dalam projek pembangunan berkenaan.

“Adalah dimaklumkan bahawa Takiyuddin telah dilantik perdana menteri sebagai menteri penyelaras antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan Kedah yang berkuatkuasa mulai 1 Sept 2020,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan penjelasan Wan Rohimi, Takiyuddin selaku penyelaras berperanan sebagai pengukuh hubungan, pemudah cara, atau pengerusi bersama dalam hal-hal tertentu:

  • Memperkukuhkan kedudukan dan perhubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Kedah dengan penyampaian maklumat yang tepat agar selari dengan dasar-dasar negara;
  • Memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara terhadap isu-isu berbangkit sama ada program atau projek pembangunan antara kementerian atau jabatan atau agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan Kedah;
  • Menjadi pemudah cara kepada urusan penyaluran bantuan kebajikan kepada rakyat Kedah daripada kerajaan persekutuan;
  • Pengerusi bersama dengan menteri besar Kedah berhubung dengan pengurusan bencana; dan
  • Apa-apa tugas yang diarahkan oleh perdana menteri dari masa ke semasa yang melibatkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Kedah.

Perbincangan itu, katanya, “sebahagian daripada bidang tugas dan tanggungjawab Takiyuddin atas kapasiti beliau sebagai menteri penyelaras” untuk memberi tumpuan khas sebagai “pemudah cara khususnya dalam hal pembangunan yang melibatkan kementerian atau jabatan atau agensi persekutuan dan kerajaan Kedah”.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments