Tuesday, November 5, 2024
HomeBREAKING NEWSKerajaan tumbang kerajaan kekal

Kerajaan tumbang kerajaan kekal

Ketika anda baca artikel ini mungkin kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sudah tumbang kerana Belanjawan 2021 yang dibentangnya gagal melepasi pengundian terakhir.

Rang Undang-undang Perbekalan itu dijadual dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini. Mungkin ketika artikel ini dibaca pengundian akan, sedang, atau sudah dilaksanakan.

Jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan Dewan Rakyat, kerajaan tumbang.
Tetapi mungkin juga ia lulus dan kerajaan ini kekal. Segala kemungkinan.

Saya paparkan dua senario ini kerana artikel ini ditulis semalam yakni sehari sebelum pengundian djadual diadakan.

Dan satu jam sebelum saya menulis ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media bersama pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk mengumumkan kerjasama yang mereka jalin dan menawarkan khidmat bagi “menyelamat negara yang ditadbir kerajaan lemah”.

Kata Mahathir (semalam) ada kemungkinan kerajaan Muhyiddin jatuh (hari ini) lalu beliau menggesa semua ahli Dewan Rakyat memikirkan kepentingan rakyat, ketepikan fahaman parti politik masing-masing, dan mengundi menurut pendirian sendiri, dan bukannya terikat dengan arahan atau kemahuan parti.

Saranan yang sememangnya amat bagus. Bagaimanapun menurut penganalis politik, Sivamurugan Pandian, ini juga satu usaha mendapat sokongan ramai ahli Dewan Rakyat dan untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Bagi Oh REi Sun pula, seorang lagi penganalis politik, “kedua-dua pemimpin veteran itu meramalkan kerajaan akan tumbang dan mereka menawarkan diri sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri”.

Mahathir pada sidang akhbarnya beberapa kali menegaskan langkah beliau dan Tengku Razaleigh bukan mengenai jawatan PM atau Timbalan PM mahu pun menteri. Kata beliau apa yang dilakukan “semata-mata untuk rakyat yang sedang menderita dan marah dengan kerajaan yang ada sekarang”.

Namun Mahathir juga berkata jika Belanjawan 2021 lulus “Muhyiddin akan terus menjadi kerajaan dan kita akan mempunyai kerajaan yang lemah dengan majoriti tipis”.

Benar. Sokongan milik kerajaan di Dewan Rakyat amat tipis. Ada pihak percaya Muhyiddin hanya ada 112 daripada 222 ahli Dewan Rakyat Yang menyokongnya. Dengan tindakan Tengku Razaleigh duduk sepentas bersama Mahathir sokongan itu semakin tipis. Sebagai wakil UMNO dan oleh kerana ada pemimpin UMNO duduk dalam kerajaan Perikatan Nasional, Tengku Razaleigh dianggap “terpaksa” menyokong kerajaan. Anggapan itu jelas meleset sekarang.

Hakikatnya kerajaan yang punya sokongan tipis tentulah kerajaan lemah sekali gus menyaksikan suasana politik kucar-kacir dan keadaan negara tidak stabil. Ini yang dialami masa kini. Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimana begini jadinya? Bagaimana negara terjerumus dan terperangkap dalam keadaan sebegini?

Bagi saya semuanya bermula apabila BN kalah PRU-14 dua tahun lalu. Pihak yang kalah yang tidak pernah menjangka akan kalah bertekad mahu berkuasa semula. Satu tekad yang tidak salah untuk ditanam dalam diri.

Lalu mereka khususnya UMNO berikrar akan berubah, menggubal strategi baharu, berusaha keras, dan bangkit semula untuk memenangi PRU-15. Bagus. Sememang itulah caranya.

Akan tetapi UMNO atau sebahagian pemimpinnya bertindak cuba mengambil jalan pintas. Mungkin untuk menunggu lima tahun sebelum pilihan raya diadakan suatu jangka masa yang teralu lama. Mereka ingin dapatkan semula kuasa yang hilang secepat mungkin. Maklumlah kuasa dimiliki sekian lama dan UMNO mendapati dirinya sukar hidup sebagai orang hilang kuasa dan hidup sebagai pembangkang bukan pemerintah.

Maka seawal Oktober 2018 iaitu lima bulan selepas PRU-14, ada pemimpin UMNO sudah mula “mendedahkan “ Ahli Parlimen UMNO dan BN sudah mengadakan pertemuan dengan Mahathir, yang ketika itu pengerusi PPBM, untuk “membincangkan penggabungan” dan juga ada antara mereka yang diberitakan masa itu mahu bertemu PKR.

Kita tahu PPBM dan PKR ketika itu berada dalam Pakatan Harapan bersama DAP dan Amanah mentadbir negara.

Namun kita diberitahu langkah UMNO itu ialah demi “menyelamatkan orang Melayu”. Malah Hishamuddin Hussein antara pemimpin kanan UMNO mengaku beliau bertemu Mahathir “untuk menyelamatkan orang Melayu dan negara”.

Seorang lagi pemimpin UMNO, Khaled Nordin, juga pernah bercakap mengenai kemungkinan wujudnya gabungan baharu membabitkan UMNO, MCA, MIC, parti Sarawak, dan gabungan parti Sabah, serta PKR.

Khaled menamakan gabungan itu “Pakatan Malaysia” dan mendakwa ada mengutus surat kepada Muhyiddin selaku presiden PPBM untuk memaklumkan apa yang sedang dirancang.

Perang psikologi? Untuk memecahkan PH? Mungkin. Tetapi itu bermakna mahu merampas kuasa atau mengambil alih kerajaan tanpa menunggu pilihan raya .

Pada Disember 2019 satu mesyuarat yang dikatakan “sulit” tetapi media seolah-olah “dibenar” menghidu diadakan di kediaman Azmin Ali, yang masa tu timbalan presiden PKR dan menteri dalam kerajaan pimpinan Mahathir.

Mesyuarat dihadiri Ahli Parlimen UMNO dan PKR. Ia dikatakan dirancang bersama oleh Azmin dan Hishamuddin. Ramai percaya mesyuarat diadakan untuk memastikan Mahathir tidak berundur sebagai perdana menteri dan halang Anwar Ibrahim mengambil alih .

Kita disajikan juga dengan laporan tentang penglibatan PAS dalam beberapa gerakan politik termasuk mahu membawa ke Dewan Rakyat usul undi percaya untuk Mahathir. Pelbagai langkah lain timbul. Semuanya, kata pemerhati poltik, bertujuan melemah malah memporak perandakan PH.

Februari lalu, seperti kita tahu, berlaku Langkah Sheraton membabitkan pembangkang ketika itu dan pihak dalaman PH sendiri.

Dan kita pun berada dalam keadaan yang kita saksikan sekarang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments