Petaling JAYA: “Saya minta maaf sangat, saya tidak bermaksud membuat mana-mana pihak terasa hati,” itu reaksi Cliff Umar berikutan terlepas cakap tentang pelitup muka yang mengganggu semasa membuat ucapan kemenangan.
Dia mengaku tidak sengaja kerana terkejut selepas diumumkan sebagai juara Gegar Vaganza 7 (GV7) yang melabuhkan tirainya malam tadi.
“Saya maksudkan, pelitup muka itu mengganggu saya nak bercakap bukan tidak bersetuju dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Saya terlalu terkejut hingga tak fikir dahulu sebelum bercakap. Saya minta maaf terutama kepada “frontliners”, ujar Clif.
Penyanyi, Cliff Umar diumumkan sebagai juara program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) di konsert akhir yang berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.
Cliff berjaya mengenepikan enam peserta lain yang berentap di pentas akhir menerusi tiga persembahan lagu iaitu segmen solo dengan lagu berjudul Nakal, duet bersama Noryn Aziz menerusi lagu Do Anything For Love, lagu Inilah Nasibku dalam segmen ‘battle’ bersama dua peserta lain iaitu Muss dan Oja.
Cliff berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000, pakej penginapan serta trofi.
Tempat kedua dimenangi oleh Muss yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, pakej penginapan dan trofi.
Tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Ayu Damit serta Noraniza Idris, dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 dan RM20,000, pakej penginapan serta trofi.
Pemenang tempat kelima dan keenam pula ialah Linda Nanuwil dan Oja pula yang berjaya meraih hadiah wang tunai bernilai RM15,000 serta RM10,000, pakej penginapan serta trofi.
Pemenang tempat ketujuh, Ashira turut menerima hadiah wang tunai RM5,000, pakej penginapan serta trofi.
Cliff turut menerima Anugerah Bintang Paling Power Meow secara automatik.
Acara kemuncak GV7 yang diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse, menampilkan empat juri iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Syafinaz Selamat dan Joe Flizzow.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]