Monday, September 23, 2024
HomeBREAKING NEWSHapus syarat ketat i-Sinar, percepat bayaran, kata Najib

Hapus syarat ketat i-Sinar, percepat bayaran, kata Najib

Najib Razak berkata kerajaan perlu menunaikan janji pada Barisan Nasional (BN) semasa penggulungan Belanjawan 2021.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghapuskan syarat ketat bagi pengeluaran i-Sinar dan mempercepatkan bayaran “one-off” pertama.

“Buat apa paksa jutaan rakyat berulang-alik dan beratur di pejabat KWSP semasa Covid-19 masih mengganas untuk menyerah pelbagai dokumen?

“Perlu ingat bahawa kamu sudah janji pada Barisan Nasional (BN) semasa penggulungan Belanjawan 2021, maka tunaikanlah janji itu,” katanya dalam catatan di Facebook.

Dalam pada itu, Najib mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lupa janji mereka mengenai lanjutan moratorium pinjaman.

“Jangan beri ruang kepada bank-bank degil untuk mengaut lebih keuntungan dengan memaksa peminjam panjangkan tempoh bayaran pinjaman mereka.

“Kerajaan PN patut letakkan kepercayaan pada rakyat sebab rakyat sendiri tahu jika mereka sedang berdepan dengan cabaran kewangan dan rakyat juga faham mereka tidak akan sia-siakan simpanan masa tua jika tiada keperluan mendesak,” katanya.

Gesaan itu dibuat Najib sambil berkongsi satu video seorang wanita meluahkan kesedihan, kekecewaan dan kesusahan hidup keluarga selepas tiga kali berurusan dengan KWSP untuk memohon skim i-Sinar.

“Kerajaan tidak akan tahu berapa jumlah beban tunggakan hutang atau liabiliti dihadapi ramai akibat pendapatan tidak menentu yang bertimbun setiap bulan sejak pandemik bermula 10 bulan lalu.

“Sebab itu, ianya bukan tanggungjawab kerajaan untuk membuat andaian ahli mana yang sedang terdesak dan perlu pelampung segera dengan meletakkan syarat arbitrari bahawa pendapatan ahli perlu berkurang 30% sebelum layak.

“Sebaliknya, tanggungjawab kerajaan ialah untuk mempermudahkan bagi rakyat dan mencari jalan memastikan simpanan KWSP dapat dipulihkan pada masa tersingkat selepas pandemik Covid-19 berakhir.”

Pada 2 Dis lalu, KWSP mengumumkan pencarum yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria kelayakan bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan, atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% selepas Mac 2020.

Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan adalah secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Dis.

Kategori 2 adalah untuk ahli yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% selepas Mac dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen diberikan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments