Saturday, December 21, 2024
HomeBREAKING NEWSJKM tawar 8,000 jawatan kontrak tahun depan, kata menteri

JKM tawar 8,000 jawatan kontrak tahun depan, kata menteri

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun berucap pada majlis penyampaian sumbangan banjir kilat di Kampung Datuk Keramat hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun depan, kata menterinya Rina Mohd Harun.

Beliau berkata ini selaras dengan penstrukturan semula JKM yang bertujuan meringankan beban kakitangan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan terhadap rakyat dapat diperkasakan.

“Kita akan tambah kakitangan kontrak JKM sebagai permulaan.

“Pada masa sama dapat beri peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan pekerjaan ketika berhadapan situasi getir pandemik Covid-19,” katanya selepas penyerahan sumbangan kepada 30 mangsa banjir kilat di Kampung Datuk Keramat, di sini hari ini.

KPWKM sebelum ini dilapor sedang menstrukturkan semula JKM melibatkan seluruh kakitangan, pentadbiran dan pengurusan.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dengan 8,000 akan diperuntukkan kepada KPWKM.

Memperincikan perkara itu, Rina berkata, selain kakitangan kontrak, pihaknya turut bercadang menambah bilangan Pelindung Kanak-Kanak dan Pegawai Akhlak JKM.

“Penstrukturan ini bertujuan memastikan setiap pegawai menjalankan tugas spesifik dan tidak terbeban,” katanya.

Selain itu, Rina turut mengalu-alukan penyertaan masyarakat sebagai sukarelawan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang.

“Konsep #kitajagakita tidak terpakai dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sahaja, tetapi terpakai dalam mensejahterakan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata KPWKM juga merancang untuk mewujudkan pusat sehenti golongan wanita yang memainkan peranan sebagai rumah perlindungan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments