Site icon Malaysia now

Zahid terlibat Majlis Presiden PN untuk pantau dasar kerajaan, kata Tajuddin

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini berkata, beliau ‘malu’ dengan keputusan ‘aneh’ Zahid menyertai Majlis Presiden PN memandangkan UMNO bukan ahli gabungan itu.

PASIR SALAK: Penglibatan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dalam Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) bertujuan memantau dasar yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tajuddin Abdul Rahman berkata, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Zahid kepadanya.

“Saya sendiri bertanyakan presiden parti mengenai penglibatannya dan beliau menjelaskan ia semata-mata memantau perjalanan pentadbiran kerajaan kerana wakil rakyat UMNO sendiri berada dalam kerajaan PN.

“Takkan UMNO tak perlu berbincang apa-apa isu jika ia berkaitan dengan kepentingan rakyat kerana apa-apa isu yang ditimbulkan rakyat.

Tajuddin Abdul Rahman.

“UMNO juga sama-sama menanggung beban dan terpaksa menjawab dengan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kelengkapan sekolah kepada 300 pelajar kurang berkemampuan pada program Sejambak Kasih “Back-to-School” di sini, hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mengulas kenyataan pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah Khamis lalu yang “malu” dengan keputusan “aneh” Zahid menyertai Majlis Presiden PN memandangkan UMNO bukan ahli gabungan itu.

Tajuddin yang juga pengarah pilihan raya UMNO berharap PAS segera membuat keputusan sama ada mahu bersama-sama dengan Muafakat Nasional (MN) atau PN menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“PAS perlu buat keputusan dan menyatakan pendirian dengan jelas kerana kita tidak mahu kelam-kabut apabila hendak pilihan raya, baru nak buat keputusan

“Bagaimanapun, kita tidak akan mudah kecewa (sekiranya PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO).

“Kalau terpaksa berdiri sendiri pun kita yakin kita boleh menang (PRU15), tetapi kalau boleh kekal kerjasama antara UMNO dan PAS, itu lagi baik,” katanya.