Site icon Malaysia now

Wira Everest mahu orang ramai pelihara alam sekitar

Datuk M. Magendran dan Datuk N. Mohanadas, wira Everest Malaysia. (Gambar Bernama)

Sempena cuti Krismas, ramai rakyat Malaysia memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga atau mengunjungi pusat beli-belah, bagaimanapun bagi peminat aktiviti lasak, mereka memanfaatkan masa terluang melakukan pendakian santai bersama dua wira Everest Malaysia di Bukit Wawasan, Puchong.

Datuk M. Magendran dan Datuk N. Mohanadas, yang mengetuai sekumpulan pendaki kecil, berkongsi kisah menarik mereka menawan puncak gunung tertinggi dunia itu pada 1997 sepanjang tiga jam meredah trek pendakian, bermula 8 pagi.

Pendaki yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur iaitu lapan tahun hingga 60-an, mematuhi dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dan mereka juga mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera di kaki bukit sebelum mendaki bukit setinggi 233 meter itu.

Magendran, rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest, 15 minit sebelum rakan sepasukan Mohanadas, berkata lebih ramai rakyat Malaysia kini meminati aktiviti pendakian, yang telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan hobi berbanding tahun 1990-an.

“Saya gembira aktiviti mendaki telah menjadi gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami tidak melihat suasana ini pada 1990-an. Tetapi pada masa sama, kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar dan memastikan kebersihannya,” katanya sambil menambah ia adalah pendakian pertamanya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Senada dengan rakannya, Mohanadas berkata pendaki harus bertanggungjawab menjaga alam sekitar dengan tidak mengganggu flora dan fauna serta tidak membuang sampah di sepanjang laluan.

Pada 23 Mei 2022, wira negara ini akan meraikan Jubli Perak sempena kejayaan mereka menakluk puncak Gunung Everest pada tahun 1997.

Sementara itu, bagi A. Saravanan, 46, yang menyertai pendakian itu bersama anak lelaki dan anak perempuannya berusia 12 dan 14 tahun berkata beliau teruja dan memberikan inspirasi kepadanya ketika mendengar pengalaman kedua-dua pendaki negara itu.

“Semasa mendaki, kami belajar beberapa petua daripada mereka seperti teknik pernafasan. Ia adalah pengalaman yang baik bagi kami, terutama kanak-kanak yang lebih terinspirasi untuk meraih lebih banyak penghargaan mendaki untuk negara,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com