Site icon Malaysia now

Wartawan Indonesia mahu Malaysia dedah segera hasil siasatan video provokasi

Dua minggu lepas tular klip video lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara itu di ruang komen laman Youtube ‘My Asean’.

JAKARTA: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia mengutuk keras tindakan provokasi yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video yang tular, yang menghina Indonesia.

Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan dan Penasihat ISWAMI Indonesia Ilham Bintang dalam satu kenyataan bersama berkata, pihak berkuasa Malaysia perlu segera mendedahkan hasil siasatan berhubung video berkenaan.

“ISWAMI meminta pihak berwajib Malaysia secara terbuka menjelaskan hasil investigasinya (siasatannya), termasuk kewarganegaraan, pemilik akaun, juga motif penghinaan tersebut.

“Hubungan yang harmoni kedua-dua negara harus tetap dijaga. Untuk itu, kes penghinaan harus dapat diselesaikan dalam waktu cepat agar kes seperti ini tidak lagi terjadi pada masa mendatang,” katanya.

Klip video yang dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komen di laman YouTube “My Asean” memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara itu.

Walaupun telah dipadamkan dari YouTube, video itu tular selepas dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain, menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

“Kami meminta netizen kedua-dua negara untuk selalu mempertimbangkan akibat daripada komen di media sosial yang dapat berakibat negatif dan merugikan banyak pihak,” kata ISWAMI.