Site icon Malaysia now

Wanita Orang Asli mati dicekik suami dalam pergaduhan

Polis berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suaminya yang menyebabkan lelaki itu mencekik isterinya.

KOTA BHARU: Seorang wanita Orang Asli ditemui mati dipercayai dicekik suaminya dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Liak, dekat Pos Brooke, Gua Musang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat ketika dihubungi berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang bergegas ke lokasi kejadian dekat Tanah Tinggi Lojing, sejurus mendapat maklumat daripada adik mangsa.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12 tengah hari, ketika mangsa berusia 38 tahun bersama suaminya berada di rumah mereka di kawasan pedalaman kampung itu.

“Siasatan awal polis mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suaminya menyebabkan lelaki itu mencekik isterinya dan mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, polis menahan suami mangsa berusia 40 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.