Site icon Malaysia now

Vaksin Covid-19 patut sudah tersedia untuk semua, kata Khairy

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Perbezaan dari segi pemerolehan vaksin antara negara maju dan membangun mesti diselesaikan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Meminta agar vaksin Covid-19 disediakan secepat mungkin, beliau juga berkata harganya haruslah berpatutan.

“Vaksin ini mesti tersedia kepada semua orang dengan cepat pada harga yang berpatutan,” kata Khairy dalam perutusannya semasa pelancaran dalam talian Laporan Pembangunan Manusia 2020 Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

“Kita mesti ingat akhirnya kita mesti mewariskan dunia yang lebih baik kepada pewaris kita, berbanding dunia yang kita warisi.”

Tambahnya, pandemik ini hanya akan memburukkan lagi ketidaksamaan struktur, yang dapat dilihat menerusi perbezaaan keadaan bekerja di rumah dan anak-anak yang kurang akses kepada pendidikan dalam talian.

“Dalam kita menyambut kejayaaan sains dalam minggu kebelakangan ini, dengan bermulanya program vaksinasi terbesar dalam sejarah manusia, kita juga diingatkan bahawa harapan boleh punah kerana tiadanya solidariti sejagat dan ketidakadilan,” katanya.

Kerajaan menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan Covax Facility bulan lalu untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi 30% penduduk Malaysia.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan ada rancangan untuk meningkatkan pembelian vaksin bagi memenuhi keperluan imunisasi sehingga 70% rakyat.