Site icon Malaysia now

Usaha pelajar berhasil apabila penderma lunas hutangnya

Vicneswary dan ibunya mengucapkan terima kasih atas semua sokongan yang mereka terima.

PETALING JAYA: Pergelutan pelajar universiti, Vicneswary untuk membayar yuran pengajiannya, dengan membuka gerai buah bersama ibunya, kini berakhir kerana beliau boleh menamatkan pengajiannya tanpa hutang, berkat kemurahan hati rakyat Malaysia.

Sumbangan tampil beberapa jam selepas masalahnya diketahui umum dan Vicneswary berkata, beliau lebih bermotivasi meneruskan kerjaya dalam bidang kewartawanan, yang juga impian mendiang ayahnya sebelum meninggal dunia tahun lalu akibat serangan jantung pada usia 55 tahun.

“Ramai bercakap di belakang ayah saya, mendakwa beliau tidak mampu berbuat apa-apa untuk keluarganya. Saya akan buktikan mereka salah. selepas menamatkan pengajian, saya bercadang meraih sedikit pengalaman bekerja sebelum melanjutkan pelajaran dalam kewartawanan di peringkat ijazah sarjana.”

Selepas menamatkan pelajarannya dan mendapat pekerjaan stabil, beliau mahu ibunya berehat dan duduk di rumah bersama datuknya.

Kakitangan FMT turut mengumpul dana yang diserahkan kepada Vicneswary dan ibunya, Puspa, semalam.

Bercakap sambil menangis, Puspa menyifatkan tawaran bantuan yang banyak ialah satu keajaiban kerana keluarganya berdepan kesukaran meminjam wang daripada saudara-mara dan rakan keluarga dahulu.

“Ini masa amat beremosi kerana sebelum ini, ketika kami memerlukan bantuan, tiada orang yang akan memberi kami RM10. Ia sangat memalukan setiap kali kami perlu meminta wang. Setiap hari ketika kami memotong buah dan duduk di gerai menunggu pelanggan, saya tertanya-tanya apa yang saya salah buat.”

Vicneswary dan ibunya menerima sumbangan daripada seorang kakitangan FMT.

Masalahnya mendapat perhatian orang ramai menerusi laporan FMT semalam.

“Kami terkejut orang sedia memberikan sokongan mereka, bertanya apa yang dapat mereka lakukan untuk kami.”

Vicneswary pernah bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel terkenal, tetapi kehilangan kerjanya ketika penularan Covid-19.

Beliau kemudiannya menjual buah di Taman Suntex, Cheras, di mana mereka hanya dapat meraih kira-kira RM25 sehari. Beliau menghadapi kemungkinan berhenti belajar di Open University Malaysia kerana berhutang sebanyak RM1,018.18.

Mereka turut mendapat notis pengusiran bulan lalu dan tuan tanah memotong bekalan air dan elektrik yang memaksa mereka terpaksa hidup dalam kegelapan. Anak-beranak ini bergantung kepada paip air awam sejak dua minggu lalu.

Tetapi, keadaan akhirnya berubah. Puspa bercadang mengembangkan gerai buah mereka dengan menjual chapati bersama inti manis atau savuri.

“Saya tidak boleh menghentikan perniagaan gerai hanya kerana kami mempunyai wang. Saya selalu bercadang menjual chapati, tetapi tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian. Kini saya boleh,” katanya dengan nada penuh harapan.