Site icon Malaysia now

Usaha hidupkan semula Hindraf kini ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Pengasas bersama Hindraf, P Waytha Moorthy, hari ini memfailkan permohonan mencabar keputusan kerajaan membatalkan pendaftaran pertubuhan itu.

Beliau mendakwa keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 15 Julai 2019 membubarkan Hindraf sebagai kesalahan undang-undang.

Kementerian Dalam Negeri turut mengesahkan pembatalan pendaftaran Hindraf itu.

Waytha, yang juga memegang jawatan menteri ketika Pakatan Harapan menerajui Putrajaya, berkata JPPM menghantar surat kepada Hindraf tahun lalu mendakwa ia melanggar Akta Pertubuhan.

“JPPM memaklumkan bahawa kepemimpinan pusat gagal mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya lapan kali setahun seperti diperuntukkan mengikut undang-undang.

“Mereka turut mendakwa kami menyimpan wang tunai RM200, iaitu melebihi jumlah minimum dinyatakan dalam perlembagaan Hindraf,” katanya.

Menurutnya, beliau membalas surat JPPM pada 27 Sept 2019 bersertakan bukti notis mesyuarat serta minitnya.

“Tiga hari kemudian, JPPM mengeluarkan surat memaklumkan pendaftaran Hindraf dibatalkan.

“Kami merayu perkara itu kepada menteri berkenaan pada Okt, namun dimaklumkan pembatalan pendaftaran itu sudah disahkan,” katanya.

Dalam permohonannya, Waytha menuntut perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan JPPM dan KDN itu.

“Keputusan responden itu melanggar prinsip keadilan asasi,” katanya.

Waytha turut mendakwa surat pembatalan pendaftaran itu tidak ditandatangani ketua pengarah JPPM ketika itu, sekali gus melanggar Akta Pertubuhan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 22 Feb untuk mendengar permohonan Waytha memperolehi izin mendapatkan semakan kehakiman atas keputusan pembatalan Hindraf.