ANKARA: Sekitar 11.5 juta orang melawat 32 muzium dan lokasi bersejarah di Turki menerusi platform digital kerajaan, baru-baru ini.
Kementerian kebudayaan dan pelancongan negara itu membuka portal digital muzium dan sejarah pada hujung Mac lalu susulan wabak COVID-19, yang memberi kesan buruk terhadap industri berkenaan.
“Muzium-muzium yang mempamerkan jutaan hasil karya seni dan kebudayaan, kini boleh diakses pelawat secara maya menerusi sanalmuze.gov.tr,” kata menterinya Nuri Ersoy ketika majlis perasmian Muzium Tarsus Museum di wilayah Mersin, selatan negara itu.
Antara muziumnya termasuk Muzium Arkeologi Gobeklitepe yang juga terkenal sebagai kuil tertua dunia di Sanliurfa, selatan Turki; Muzium Perang di dalam bangunan Parlimen di ibu negara Ankara; Muzium Tamadun Anatolia di Ankara; Muzium Ephesus di Izmir; Muzium Mozek Zeugma di Gaziantap, tenggara Turki; dan Muzium Troy di Canakkale, barat negara itu.
Menurutnya, Muzium Gobeklitepe paling banyak menerima kunjungan dan lokasi berusia lebih 10,000 tahun ditemui penyelidik dari universiti Istanbul serta Chicago, malah turut tersenarai sebagai warisan dunia UNESCO.
Portal muzium itu memberikan pengalaman seperti berada di lokasi sebenar, dan pengembaraan boleh dimulakan dari mana-mana bahagian muzium tersebut.
Pelajar sejarah dan pencinta seni berpeluang meneliti karya yang dipamerkan dalam bentuk 3D, dan pengunjung maya juga boleh mengakses maklumat mengenai sejarah objek serta lokasi yang dipaparkan dalam muzium berkenaan.
Mereka yang berminat boleh mengakses pelbagai muzium, istana, masjid, gereja, biara dan kubu yang disenaraikan di bawah kementerian kebudayaan dan pelancongan Turki di ktb.gov.tr.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com