Site icon Malaysia now

Tukang jam kekalkan ‘kapsul masa’

Abdelkarim mula membaiki jam tangan pada usia 11 tahun. (Gambar AFP)

BAGHDAD: Kedai Youssef Abdelkarim di salah satu laluan paling bersejarah Baghdad tidak ubah seperti kapsul masa. Ribuan jam tangan memenuhi setiap pelosok ruang yang diusahakan tiga generasi keluarganya.

Dari tingkap berdebu kedai di Jalan Rasheed itu mempamerkan sebaris jam tangan klasik dalam kotak baldu di bahagian depan manakala di belakangnya pelbagai longgokan jam, termasuk ada yang disangkutkan pada cangkuk.

Di dalam kedai itu, pengunjung dapat melihat jam tangan dalam baldi plastik di atas lantai, selain disimpan dalam kotak yang diletakkan di atas rak atau dalam beg pakaian.

Jauh di satu sudut di sebalik meja kayu lama, Abdelkarim, 52, dilihat sedang memeriksa seutas jam tangan antik.

“Setiap jam ada personaliti tersendiri. Saya cuba mengekalkannya sebaik mungkin, tidak ubah seperti dengan anak sendiri,” katanya.

Abdelkarim, menceritakan bagaimana beliau mula membaiki jam tangan pada usia 11 tahun selepas kematian datuknya yang membuka kedai tersebut pada 1940-an.

Datuknya ketika itu sudah menurunkan ilmu mencukupi kepada ayahnya yang kemudian mengajarnya pula.

Sejak itu, dia membaiki jam tangan buatan Swiss yang mahal, termasuk keluaran Patek Philippes bernilai €10,000, selain jam Sigma yang digelarnya ‘jam tangan si miskin’.

Malah, dia mengesyaki satu daripada jam tangan dibaikinya juga pernah dimiliki Saddam Hussein.

“Jam itu memang jenis yang jarang ditemui, dibawa kepada saya dari istana presiden dengan tandatangan Saddam di belakangnya,” katanya.

Kos membaikinya ialah 400 dinar atau bersamaan dengan ASD1,000 pada 1980-an, namun nilainya kurang daripada sedolar hari ini.

Dia mengakui terlalu banyak benda berubah sejak itu. Pengguna menukar jam tangan analog untuk model digital dan kini lebih memilih menggunakan telefon bimbit.

Namun, Abdelkarim menegaskan jam tangan bukanlah sesuatu yang lapuk, malah dia berkata, “Ketampanan seorang lelaki bermula dengan jam tangan yang elok dan sepasang kasut.”

Mungkin ada juga benar kata-katanya – kedai kecil Abdelkarim masih dipenuhi pelanggan pelbagai usia dan gaya, termasuk bekas menteri yang kemas memakai sut, yang mencari jam klasik mahupun golongan lebih muda yang membawa jam baharu untuk diperbaiki.

“Apa saja diperlukan, pasti akan ditemui di sini,” katanya bangga.

Disebabkan penglihatannya semakin kabur, dia cuma mampu membaiki lima jam sehari berbanding pada 1980-an yang melihat ratusan jam diperbaiki serta dijual setiap hari.

Ketika itu, Jalan Rasheed juga dipenuhi peniaga pada waktu siang selain tempat kunjungan popular ketika malam.

Abdelkarim masih ingat keadaannya ketika itu dengan panggung wayang, teater serta kedai kopi yang menurutnya: ‘Tak pernah ditutup!’

Kedainya ketika itu mempunyai puluhan pesaing, namun kedai jam lain tutup satu persatu pada 1990-an selepas sekatan antarabangsa menyebabkan ramai orang semakin sukar mencari makanan.

Ini diikuti pula dengan serangan diketuai Amerika Syarikat pada 2003 yang menggulingkan Saddam seterusnya negara itu bergelumang keganasan dengan Jalan Rasheed tidak ketinggalan terkesan akibat letupan bom kereta.

Disebabkan itu, Abdelkarim berpindah ke kejiranan yang lebih selamat, namun masih mengekalkan kedai milik keluarganya itu dan sanggup berjalan ke situ setiap hari untuk memastikan perniagaannya kekal dibuka.

Semangatnya tidak pudar, sekalipun jalan itu ditutup selama beberapa bulan disebabkan kem yang didirikan dalam bantahan besar-besaran di Dataran Tahrir berhampiran.

“Ketika itu saya tidak dapat membuka kedai setiap hari, mungkin sekali atau dua kali seminggu kerana polis anti rusuhan sering bertempur dengan penunjuk perasaan. Namun seboleh-bolehnya saya tetap datang ke sini,” katanya.

Di sekitarnya, kedai pakaian atau buku lama yang pernah menghiasi jalan itu semuanya sudah ditutup, kebanyakannya kini digunakan sebagai gudang atau kedai menjual aksesori kereta.

“Ramai kawan saya berpindah dan keadaan jalan ini juga sudah banyak berubah, tetapi ada sesuatu di sini yang begitu unik berbanding tempat lain di Baghdad,” katanya.

Dia kini melatih dua anak lelakinya, Yehya, 24, dan Mustafa, 16, untuk mengambil alih perniagaan keluarga itu dan lebih penting lagi, dia mahu keadaan kedai berkenaan dikekalkan termasuk dinding yang retak, rak berdebu dan himpunan jam tangan.

“Kedai ini tidak berubah sepanjang 50 tahun, itu yang mengekalkan identitinya dan itu yang membuatkan orang selalu kembali ke sini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com