Site icon Malaysia now

Tenangkan minda dengan 7 destinasi menarik di Selangor

Selangor, kaya dengan keindahan alam semulajadi yang mendamaikan. (Gambar Tourism Selangor)

Sesekali, anda perlukan masa untuk menenangkan fikiran dengan pergi ke tempat-tempat persekitaran yang tenang dan jauh dari kesesakan kota.

Di Selangor sahaja, terdapat banyak tempat yang boleh anda lawati, tenang dan nyaman, jauh dari kesibukan.

Berikut adalah 7 destinasi menarik yang boleh anda kunjungi bersama keluarga.

Myrtle Lemon Tea Plantation Sabak Bernam

Pemandangan yang indah di ladang teh Myrtle, menarik untuk merakam gambar kenangan. (Gambar Tourism Selangor)

Ramai orang tidak tahu bahawa terdapat ladang teh lemon Myrtle yang indah di Sekincan. Biasanya, ladang teh Myrtle terdapat di Australia, tetapi kini ada di Malaysia.

Sekiranya anda merancang melawat ke ladang ini, anda boleh menikmati pemandangan indah ladang menghijau dan sawah padi, sememangnya lokasi yang sesuai untuk mengabadikan gambar kenangan.

Di samping itu, terdapat ‘tempat tidur gantung’ yang disediakan untuk pengunjung menikmati masa bersantai. Anda juga boleh membeli produk yang diperbuat daripada teh Myrtle di gerai yang disediakan seperti sabun tangan, sabun badan, teh Myrtle, air teh lemon segar dan banyak lagi.

Bayaran masuk adalah RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak di bawah umur 7 tahun.

Ladang hanya dibuka pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Alamat: Lot 16281, Jalan Tali Air 6 Sekinchan, Selangor Darul Ehsan

Sawah Padi, Sekincan, Sabak Bernam

Pemandangan bendang yang redup dan sayup mata memandang cukup mendamaikan. (Gambar Tourism Selangor)

Sabak Bernam terkenal dengan pusat penanaman sawah di Selangor. Keindahan pemandangan bendang yang redup dan sayup mata memandang memang mendamaikan.

Sememangnya, di sini tempat yang sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga sambil menerapkan ilmu mengenai sawah padi kepada anak-anak.

Sambil bergambar menikmati keindahan pemandangan sawah bendang, anda juga boleh singgah ke kedai roti Ah Ma, yang menjual makanan ringan tradisional Cina seperti biskut, keropok, makanan ringan seperti tart nanas, kuih kapit dan kuih bangkit.

Anda juga boleh mengunjungi Galeri Padi untuk belajar mengenai penanaman benih dan proses penuaian padi.

Alamat: Sawah Padi Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor

Taman Botanik Negara, Shah Alam

Taman Botanik yang sesuai untuk riadah seisi keluarga. (Gambar Tourism Selangor)

Taman Botanik Negara adalah taman pelancongan agro yang direka untuk tujuan riadah dan juga penyelidikan. Ia mempunyai persekitaran hijau, tenang dan menyegarkan.

Tarikan khas untuk pengunjung adalah rumah empat musim yang terkenal di mana anda boleh mengalami semua 4 jenis musim; musim sejuk, musim bunga, musim luruh dan musim panas. Namun begitu, rumah empat musim ini hanya akan dibuka untuk umum pada awal 2021.

Selain itu, terdapat juga taman kaktus, angerik dan rempah-ratus serta taman haiwan, kebun buah-buahan dan banyak lagi.

Bayaran masuk: RM3 (12 hingga 54 tahun), RM1 (6 hingga 11 tahun), RM1 (55 tahun dan ke atas) dan percuma untuk OKU.

Waktu operasi adalah dari hari Selasa hingga Ahad (7.30 pagi hingga 4.30 petang).

Alamat: Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, 40000 Shah Alam, Selangor

Empangan Sungai Selangor, Hulu Selangor

Kejernihan air tasik dan persekitaran semulajadi yang sungguh mendamaikan. (Gambar Tourism Selangor)

Sekiranya anda mempunyai masa lapang, anda boleh singgah ke Empangan Sungai Selangor kerana ia adalah salah satu destinasi menarik terutama bagi pencinta alam dan jurugambar.

Di sini anda boleh menikmati persekitaran semulajadi dengan tasik yang jernih dan mengambil gambar pemandangan bukit-bukau yang sungguh indah.

Bukan hanya itu, anda juga boleh melakukan aktiviti memancing dan berbasikal.

Suasana waktu malam juga amat mendamaikan. Kerdipan bintang di langit yang indah begitu mengasyikkan bila disaksikan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Alamat: Empangan Sungai Selangor, 55, 44000 Kuala Kubu Baru, Selangor

Paya Indah Discovery Wetland, Kuala Langat

“Jungle trekking” dan berbasikal adalah antara aktiviti menarik di sini. (Gambar Tourism Selangor)

Paya Indah Discovery Wetlands, lokasi sempurna untuk mereka yang gemarkan ketenangan alam semulajadi.

Pemandangan di sekitar kawasan ini sangat indah kerana dipenuhi dengan pokok, ladang besar dan tumbuh-tumbuhan semula jadi seperti teratai.

Tempat ini telah menjadi kawasan habitat bagi lebih dari 300 spesis haiwan. Bagi pencinta burung, anda juga menonton pelbagai jenis burung di sini.

Bukan itu sahaja, anda juga dapat menikmati aktiviti seperti memberi makan badak, buaya dan ikan serta memancing, berbasikal, berkayak, “jungle trekking” dan banyak lagi.

Aktiviti unik lain adalah pengembaraan Safari; “Safari Insta-Tour” membawa anda mengembara menaiki trak selama 45 minit ke tiga lokasi menarik iaitu Jejak Buluh, Tasik Sendayan dan Rumah Melayu.

Bayaran masuk adalah RM35 pada hari kerja, RM45 pada hujung minggu dan pemegang MyCard dapat menikmati potongan 20%.

Paya Indah Discovery Wetlands dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Alamat: KM 4, Jalan Dengkil, Banting, 43800 Dengkil, Selangor

Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor

Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di Selangor Fruit Vallet, Kuala Selangor. (Gambar Tourism Selangor)

Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor, sebuah ladang yang menawarkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti rambutan, betik, belimbing, jambu dan banyak lagi. Kesemua buah-buahan ini boleh dinikmati secara percuma.

Tidak hanya itu, terdapat tarikan dan aktiviti lain seperti mengunjungi zoo mini, pusat pertanian, rumah tradisional, ladang madu kelulut dan aktiviti berkayak.

Terdapat juga perkhidmatan trem di mana anda boleh bersiar-siar di sekitar taman sambil menikmati udara segar. Selain itu terdapat sebuah gerai kelapa untuk anda menghilangkan dahaga dengan menikmati air kelapa segar.

Selangor Fruit Valley dibuka setiap hari kecuali Jumaat (9.00 pagi hingga 4.00 petang).

Bayaran masuk: RM15 (dewasa), RM10 (60 tahun dan ke atas), RM10 (OKU dan kanak-kanak 4 hingga 12 tahun), dan percuma untuk kanak-kanak di bawah 4 tahun.

Alamat: Selangor Fruits Valley SFV, Rawang, Berjuntai Bestari, Selangor, Malaysia

Pulau Ketam, Klang

Kawasan perkampungan nelayan yang terkenal dengan majoriti masyarakat Cina. (Gambar Tourism Selangor)

Pulau Ketam terletak di Klang dan merupakan destinasi menarik untuk dikunjungi di mana pengunjung dapat menikmati persekitaran pantai yang mendamaikan dan melakukan aktiviti menarik bersama rakan dan keluarga.

Untuk sampai ke Pulau Ketam, anda perlu menaiki feri (RM14 dua arah) setiap orang atau bot laju (RM20 dua arah) seorang.

Kawasan ini merupakan perkampungan nelayan yang dihuni oleh majoriti masyarakat Cina. Ia juga terkenal dengan restoran makanan laut yang menyajikan menu yang enak.

Beberapa aktiviti yang mungkin boleh dinikmati di sini termasuk menyewa basikal dan berjalan-jalan di sekitar kampung, mengambil gambar di laman mural dan kuil-kuil Cina, menikmati suasana pemandangan perkampungan nelayan dan banyak lagi.

Alamat: Jalan Foreshore, Kawasan 20, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat banyak tarikan menarik yang boleh anda lawati di Selangor yang jauh dari kesibukan kota.

Sebaiknya, jangan lupa untuk selalu menjaga jarak sosial dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila melawat tempat-tempat menarik ini untuk mencegah penyebaran Covid-19.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com