KUALA LUMPUR: Taman Negara Johor Endau Rompin (TNJER) dicalonkan sebagai ASEAN Heritage Park (AHP) dalam mesyuarat jemaah menteri semalam, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata, majlis mesyuarat kerajaan Johor yang bersidang pada 7 Mac 2018 bersetuju pencalonan TNJER sebagai AHP, sekali gus menjadikan pengiktirafan keempat bagi Malaysia selepas Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Kinabalu National Park (Sabah) dan Gunung Mulu National Park (Sarawak).
“Pencalonan TNJER antara lain akan meningkatkan imej TNJER sebagai kawasan konservasi penting di Johor dan Taman Negara kedua di Semenanjung Malaysia, memperkukuhkan pengurusan TNJER berasaskan kepada ‘best management practice’ setaraf pengurusan kawasan perlindungan serantau dan antarabangsa.
“Selain itu, turut meningkatkan jaringan hubungan dan kerjasama antara kawasan perlindungan di dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan.
AHP adalah inisiatif kerjasama serantau untuk menguruskan jaringan kawasan perlindungan di rantau ASEAN yang mempunyai keunikan, kepelbagaian biologi dan nilai ekologi terpenting.
Perkara itu dipersetujui oleh negara anggota ASEAN melalui ASEAN Declaration on Heritage Parks and Reserves 1984 yang ditandatangani Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand pada 29 Nov 1984.
TNJER dilitupi lebih 90% hutan hujan tropika serta ekosistem yang masih terpelihara dengan hampir keseluruhan kawasan perlindungan dikelilingi rizab hutan simpan, serta mengandungi 80 spesies tumbuhan diancam secara global tersenarai bawah spesies terancam Senarai Merah IUCN, termasuk 38 spesies Terancam Kritikal (CR), 16 spesies Terancam (EN) dan 26 spesies Terdedah (VU).
Selain itu, TNJER juga adalah habitat penting bagi pemuliharaan mamalia besar yang terancam terutamanya Harimau Malaya (Panthera tigris), Malayan Tapir (Tapirus indicus), Beruang Matahari (Helarctos Malayanus) dan Gajah Asia (Elephas maximus).
Katanya, KeTSA akan mengemukakan dokumen pencalonan TNJER sebagai AHP kepada Sekretariat AHP di Filipina untuk dipertimbangkan oleh kumpulan kerja ASEAN serta kelulusan di peringkat Menteri-Menteri ASEAN pada 2021.
Sementara itu, Shamsul berkata pencalonan itu mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memelihara dan mengiktiraf kawasan perlindungan sebagai khazanah negara yang tidak ternilai.
Beliau menyeru semua kerajaan negeri supaya mengambil inisiatif mengemukakan pencalonan bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa seperti AHP kerana ia membantu aspek promosi sektor pelancongan tidak hanya di Malaysia dan peringkat ASEAN, malah di persada luar negara.
“Namun, sebelum potensi ekopelancongan diterokai secara agresif, pembangunan dan pengurusan kawasan ekopelancongan hendaklah dilaksanakan secara mapan untuk memastikan flora, fauna dan ekosistem sedia ada sentiasa terpelihara,” katanya.
Bagi tujuan itu, beliau berkata kajian daya tampung perlu dilaksanakan dan pengusaha ekopelancongan perlu memastikan had daya tampung dipatuhi.
Katanya, usaha itu juga adalah selaras dengan hasrat ASEAN agar langkah pemuliharaan perlindungan dilaksanakan bagi mengekalkan proses ekologi dan kepelbagaian genetik, memastikan pemeliharaan biodiversiti dan ekosistem, serta memelihara hutan belantara yang mempunyai nilai tinggi dari aspek budaya, pendidikan, penyelidikan, rekreasi dan ekopelancongan.