Site icon Malaysia now

Sultan Johor ucap terima kasih, laman rasmi Facebook baginda cecah sejuta pengikut

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sentiasa dekat di hati rakyat. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sememangnya amat dekat di hati rakyat dan hari ini, laman rasmi Facebook baginda telah mencecah sejuta pengikut, sekali gus menjadikan wadah komunikasi penting antara baginda dengan rakyat jelata.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman berkenaan, Sultan Ibrahim menzahirkan terima kasih atas perkara terebut.

“Hari ini, laman Facebook saya sudah mencecah satu juta pengikut. Terima kasih semua” titah Sultan Ibrahim.

Menurut hantaran terbabit, Facebook antara medium sosial penting yang digunakan Sultan Ibrahim untuk menyampaikan pelbagai nasihat serta perkara penting dari semasa ke semasa kepada rakyat Johor.

Halaman itu, bukan sahaja menyiarkan pelbagai aktiviti serta sumbangan mengenai Sultan Ibrahim dan Keluarga Diraja Johor, malah menjadi ruangan yang membolehkan rakyat turut menyampaikan pandangan atau idea mereka.

Malah, khabar baginda yang sentiasa melawat pelbagai kawasan penempatan di seluruh Johor, dengan program Kembara Mahkota Johor merupakan acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan rakyat.

Selain Facebook, Sultan Ibrahim turut mempunyai laman sosial Instagram, malah aktiviti baginda turut dimuat naik di dalam YouTube.

Sementara itu, Pejabat Media dan Komunikasi rasmi Keluarga DiRaja Johor iaitu Royal Press Office (RPO) menenerusi kenyataan berkata angka sejuta pengikut tersebut dicapai pada 8.37 pagi tadi.

Daripada sejuta pengikut itu, 321,118 daripadanya adalah dari Johor, diikuti Kuala Lumpur (103,745) dan Singapura (46,585).

“Laman rasmi Facebook yang mula beroperasi sejak 31 Mei 2015, turut menunjukkan majoriti pengikut baginda golongan lelaki iaitu 59 peratus. Daripada jumlah itu, 40 peratus adalah dalam kategori umur 25 hingga 34 tahun,” menurut kenyataan terbabit.

Populariti Sultan Johor meningkat dari semasa ke semasa hasil perkongsian perihal rasmi serta perkongsian istimewa hobi baginda seperti memasak dan bersukan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com