Site icon Malaysia now

Suami isteri diarah bela diri tuduhan bunuh anak 8 tahun

Mahkamah Tinggi Shah Alam turut memerintahkan pasangan itu membela diri terhadap satu lagi pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan sepasang suami isteri membela diri atas pertuduhan membunuh anak lelaki mereka berusia lapan tahun di pusat urut tempat mereka bekerja tiga tahun lepas.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Aaron Teoh Eng Wan, 36, dan isterinya, En Sit Mooi, 39.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu membela diri terhadap satu lagi pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Saya menilai dan menilai semula semua keterangan, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas kedua-dua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh. Mereka dengan ini diperintahkan membela diri.”

Pendakwaan mengemukakan 28 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula Julai 2019.

Hakim kemudiannya menetapkan 18 dan 19 Jan depan untuk dua tertuduh yang diwakili peguam Tan Teck Yew dan Tina Ong membela diri.

Ong memaklumkan mahkamah, pihak pembelaan akan mengemukakan dua saksi, iaitu suami isteri itu sendiri yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Semasa pembukaan perbicaraan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya memberitahu mahkamah, mangsa dipukul ibu bapanya menggunakan rotan dan kayu.

Keterangan pakar patologi menunjukkan punca kematian kanak-kanak itu akibat pendarahan di bawah kulit dan otot yang meluas serta teruk akibat hentakan tumpul berganda.

Keterangan saksi pendakwaan lain seperti ahli kimia juga mengesahkan terdapat DNA milik Teoh serta mangsa pada rotan yang ditemui di tempat kejadian dan berdasarkan rakaman CCTV di premis itu, En dilihat beberapa kali mengheret mangsa yang dalam keadaan sangat lemah serta tidak bermaya.

Pasangan itu dibicarakan atas pertuduhan membunuh anak sulung daripada dua beradik itu di sebuah premis di Regalia Business Centre, Subang Jaya antara 2 petang hingga 3.30 petang 26 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Teoh dan En juga dibicarakan atas pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (5) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

Pasangan itu pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 5 Jun 2017.