GEORGE TOWN: Pejabat Jabatan Perbendaharaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di tingkat 15 bangunan Komtar ditutup bermula hari ini hingga 13 Disember untuk proses sanitasi, selepas seorang petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu disahkan positif Covid-19 semalam.
MBPP dalam kenyataan berkata, pihaknya dihubungi petugas yang positif itu 5 petang semalam dan proses sanitasi terus dijalankan bermula 7.30 malam tadi.
“Petugas itu kali terakhir hadir di pejabat Jabatan Perbendaharaan pada 4 Disember lalu dan mula bekerja dari rumah sejak 7 Disember, selepas anaknya disahkan positif Covid-19.
“Seramai 15 nama kakitangan yang mempunyai kontak rapat dengan petugas itu telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, dan mereka diarahkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 bermula hari ini,” menurut kenyataan itu.
Selain di pejabat Jabatan Perbendaharaan, proses sanitasi turut dijalankan di kawasan sering dikunjungi petugas itu di bangunan tersebut.