PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor melancarkan siasatan merentasi pelbagai kementerian mengenai penyeludupan daging yang diragui status halalnya, sumber memberitahu FMT.
Menurut sumber berkenaan, SPRM memandang serius masalah itu kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat, khususnya umat Islam, berikutan keraguan mengenai sama ada daging berkenaan halal.
“Fokus siasatan adalah sama ada berlaku pemalsuan dokumen yang berkaitan dengan pengisytiharan barang import, dan juga dakwaan rasuah melibatkan beberapa agensi,” kata sumber itu.
Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM dan turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), dan kastam.
Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias mengesahkan siasatan sedang dijalankan, dan menggesa pihak yang mempunyai maklumat tampil dan membantu siasatan.
Sebelum ini penjualan daging seludup dilaporkan berlaku secara dalam talian sejak awal tahun ini.
Permintaan untuk daging seludup itu tinggi kerana harga yang ditawarkan lebih rendah.
Penjualan semakin laris terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di seluruh negara untuk membendung Covid-19.
Namun, ramai mempersoalkan sama ada daging itu disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

