Site icon Malaysia now

Semakin ramai penduduk dipindah kerana banjir di Terengganu, Kelantan

Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk petang ini dengan lebih banyak PPS dibuka bagi menampung jumlah mangsa yang meningkat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Pantai Timur Semenanjung semakin bertambah setakat 5 petang ini, selain pertambahan pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri-negeri terbabit.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 5,776 orang daripada 1,478 keluarga setakat 4 petang berbanding 4,094 orang daripada 996 keluarga pada 7 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, peningkatan itu susulan pembukaan 13 lagi PPS berbanding hanya 33 PPS pagi tadi menjadikan jumlah terkini ialah 46 PPS.

“Daerah yang paling teruk terjejas iaitu Kemaman terus merekod pertambahan jumlah mangsa kepada 4,729 orang daripada 1,135 keluarga berbanding 3,698 orang daripada 867 keluarga pagi tadi.

“Jumlah PPS di Kemaman kekal di 25 lokasi, namun jumlah mangsa bertambah kerana terdapat beberapa kawasan lain pula dinaiki air,” katanya kepada pemberita hari ini.

Di Dungun pula, jumlah mangsa juga bertambah kepada 326 orang daripada 95 keluarga di tujuh PPS ketika ini berbanding 182 orang daripada 57 keluarga di empat PPS pagi tadi.

Jumlah mangsa di Hulu Terengganu meningkat sedikit kepada 710 orang daripada 245 keluarga di 13 PPS berbanding 212 orang daripada 71 keluarga sebelum ini dan di Setiu pula, mangsa bertambah kepada 11 orang daripada tiga keluarga berbanding dua sekeluarga di satu PPS pagi tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan lima sungai di empat daerah masih melepasi paras bahaya setakat 4 petang ini.

Di Kemaman, dua sungai tersebut ialah Sungai Tebak di Jambatan Tebak setinggi 19.03 meter (m) melebihi paras bahaya 18.5 m dan Sungai Kemaman di Air Putih setinggi 14.25 m (paras bahaya 14 m).

Selain itu, di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping setinggi 20.58 m (paras bahaya 19.7 m), Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu pula setinggi 13.23 m berbanding paras bahaya 13.2 m dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau mencatat paras setinggi 12.69 m melebihi paras bahaya 12.5 m.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus meningkat kepada 851 orang daripada 233 keluarga yang ditempatkan di 25 PPS setakat 5 petang ini berbanding 531 mangsa pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak tiga daerah terkesan dan Pasir Mas mencatatkan bilangan mangsa tertinggi seramai 452 orang daripada 139 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.

Di Kuala Krai, seramai 231 mangsa daripada 57 keluarga ditempatkan di tujuh PPS, manakala di Tanah Merah seramai 168 mangsa daripada 37 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.

Sementara itu, menurut laman sesawang JPS di http://publicinfobanjir.water.gov.my setakat 5 petang ini dua sungai di Kelantan mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya.

Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang mencatatkan bacaan melebihi 60 m (bahaya 59 m) dengan trend menaik dan Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 10.42 m (bahaya 10 m), namun dengan trend menurun.

Tiga sungai pula mencatatkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Kusial Baru di Tanah Merah dengan 15.16 m (amaran 15.1 m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 15.88 m (amaran 14 m) dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah 23.3 m (amaran 22.5 m).

Sementara itu, tiga sungai merekodkan bacaan waspada iaitu Kg Sungai Nal, Kuala Krai mencatatkan bacaan 23.69 m (waspada 23.5 m) dengan trend menurun, Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu 3.33 m (waspada 3 m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat aras sungai berada pada bacaan 2.01 (waspada 2 m).

Cuaca di seluruh Kelantan ketika ini masih hujan dan sesekali lebat.