Site icon Malaysia now

Selepas peruntukan KDN lulus, hampir semua kementerian lepasi peringkat jawatankuasa

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berdepan sebarang masalah untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon berkata RUU itu dipersetujui dengan undian suara majoriti.

“Lebih suara bersetuju,” katanya di Dewan Rakyat.

RUU itu juga diluluskan dengan mudah tanpa melalui undian belah bagi selepas 10 wakil rakyat mengambil bahagian membahas di peringkat jawatankuasa.

Ini merupakan peruntukan yang ke-25 yang lulus di Dewan Rakyat, di sebalik persoalan yang ditimbulkan pembangkang berhubung keabsahan pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Ini juga bermakna hampir semua kementerian berjaya melepasi peringkat jawatankuasa, dan esok berbaki dua lagi kementerian.

Minggu terakhir Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bermula hari ini amat ditunggu-tunggu bagi melihat sama ada Belanjawan 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga, yang dijadualkan esok selepas semua peruntukan 27 kementerian lulus.

Kementerian Dalam Negeri diperuntukan sebanyak RM16.852 bilion dalam Belanjawan 2021, iaitu RM13.693 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM3.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.