Site icon Malaysia now

Selepas pertemuan dengan Anwar, Sng kekal pengerusi interim PKR Sarawak

Larry Sng berkata, beliau menghargai sokongan dan kepercayaan penuh Anwar Ibrahim dan PKR Sarawak supaya beliau memimpin parti dalam pilihan raya negeri akan datang. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Larry Sng berkata, beliau akan kekal sebagai pengerusi interim PKR Sarawak selepas pertemuan dengan presien parti itu Anwar Ibrahim semalam.

“Perbincangan kami menyentuh pemimpin Dayak yang sesuai dalam PKR Sarawak, autonomi PKR negeri, rangka kerja pemilihan calon untuk pilihan raya dan pendirian berhubung kerjasama dengan parti di luar Pakatan Harapan (PH),” katanya di Facebook malam ini.

“Kami berjaya mencapai persefahaman dan saya akan kekal sebagai pengerusi interim.

“Saya menghargai sokongan dan kepercayaan penuh presiden dan PKR Sarawak untuk saya memimpin parti dalam pilihan raya negeri akan datang.”

Pada Selasa, Ahli Parlimen Julau itu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PKR negeri.

Peletakan jawatan Sng bagaimanapun ditolak sebulat suara oleh majlis pimpinan PKR Sarawak.

Berikutan itu Sng berkata, beliau akan memutuskan langkah seterusnya selepas bertemu dengan Anwar.

Sng sebelum itu berkata, PKR Sarawak perlu dipimpin oleh seorang pemimpin Dayak bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang kerana komuniti itu merupakan majoriti di Sarawak, tetapi kawasan petempatan mereka paling miskin dan terkebelakang dari segi pembangunan.

Beliau dilantik sebagai pengerusi PKR negeri pada Mac bagi menggantikan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian yang meninggalkan PKR berikutan “Langkah Sheraton” yang menyebabkan kerajaan PH tumbang dan Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri.