Site icon Malaysia now

Saya tak pernah sokong Anwar, kata Bung

Bung Moktar Radin menafikan beliau antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang didakwa menyokong Anwar.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin menafikan dakwaan terbaru yang mengaitkan beliau antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan pihak yang mengaitkan namanya dalam spekulasi terbaru itu sangat tidak bertanggungjawab kerana beliau sudah menafikan perkara itu bulan lalu.

“Bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk SD (akuan bersumpah) kerana ia adalah penentu kepada pembentukan kerajaan dalam sesebuah negara.

“Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu kerana saya sudah buat kenyataan bulan lalu yang tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak.

“Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua negara,” katanya dalam kenyataan.

Bung yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, tindakan pihak yang memainkan isu itu harus dihentikan kerana ia hanya akan mengelirukan rakyat.

Katanya, jika benar Anwar mempunyai SD mencukupi, beliau hanya perlu berjumpa Yang di-Pertuan Agong tanpa perlu membuat kenyataan atau perkara itu diuar-uarkan individu tertentu.

“Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi, saya rasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat.

“Walaupun negara kita adalah negara demokrasi dan media sosial bebas untuk disalah guna, hentikan perkara tidak baik yang mengelirukan rakyat. Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Al-Sultan Abdullah, tidak perlu buat kenyataan.

“Sesiapa yang ada keyakinan diri, bawa dan menghadap (Yang di-Pertuan Agong), jangan pula buat permohonan menghadap dengan tangan kosong,” katanya.

Terdahulu, Anwar dikatakan sekali lagi akan cuba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong yang beliau mempunyai bilangan sokongan mencukupi daripada ahli Dewan Rakyat.

Sumber yang kononnya dekat dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendakwa Anwar sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk SD.