KUALA LUMPUR: Dengan stetoskop tergantung di leher, dia duduk di piano sambil jemari lembutnya memetik gitar. Sekilas pandang, mungkin ramai yang keliru. Penampilannya presis seorang doktor tetapi aksinya lebih kepada pemuzik.
Jangan salah sangka, Sandra Cheah Mei Teng, sebenarnya adalah salah seorang daripada 15 ahli terapi muzik berdaftar di Malaysia.
Tugasnya menyediakan perkhidmatan terapi muzik kepada pesakit kanak-kanak dan juga pesakit akhir hayat yang semuanya mempunyai keperluan kesihatan emosi dan mental yang pelbagai.
Terapi muzik adalah penggunaan muzik untuk memenuhi keperluan khusus pesakit, baik dari segi fizikal, emosi, fisiologi, kognitif atau sosial.
Stetoskop yang tergantung di leher wanita berusia 27 tahun ini, bukanlah stestoskop biasa. Ia stestoskop digital yang digunakan untuk merakam degup jantung pesakitnya.
Setelah rakaman siap, ia akan diedit dan dijadikan sebagai asas untuk menyusun muzik.
“Untuk kes pesakit akhir hayat, ia akan melibatkan aktiviti merakam memori bersama ibu bapa atau keluarga pesakit. Degupan jantung pesakit akan dirakam menggunakan stetoskop elektronik saya.
“Kemudian, saya akan bekerja dengan ahli keluarga untuk menulis lagu dan memasukkan bunyi degupan jantung pesakit di dalam lagu tersebut,” katanya.
Rakaman degupan jantung ini sangat emosional kerana lagu tersebut lebih bersifat peribadi antara pesakit dan keluarga mereka.
“Sekiranya pesakit seorang yang lanjut usia, saya akan melakukan perkara yang sama tetapi sesi nyanyian terapeutik akan ditambah bersama keluarga. Kami akan memasukkan lagu-lagu kegemaran pesakit dari kecil, remaja hingga sewaktu perkahwinannya.
“Lagu-lagu tersebut akan membantu menyemarakkan kenangan istimewa buat pesakit dan keluarganya,” jelas Sandra.
Sandra yang juga pakar dalam terapi muzik di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) menjelaskan bahawa dia bekerja dengan ibu dan bayi pramatang mereka.
“Bayi-bayi ini akan menghisap dengan cepat dan mereka cenderung tersedak. Bayi pramatang tidak tahu menghisap, menelan dan bernafas pada masa yang sama,” ujarnya.
Dalam keadaan seperti ini, dia akan berbincang dengan ibu bayi untuk memahami genre muzik yang didedahkan kepada bayi sewaktu mengandung kerana pada trismester pertama kehamilan, sistem pendengaran bayi telah berkembang sepenuhnya.
Menurut Sandra, terdapat banyak salah faham mengatakan bayi lebih bertindakbalas terhadap lagu-lagu bayi. Ia sebenarnya tidak benar kerana bayi lebih cenderung kepada apa yang didengar oleh ibu bapa mereka.
Antara lagu yang paling popular yang dimainkan oleh ibu bapa untuk bayi mereka adalah ‘You are my sunshine”, “I’m yours”, nyanyian Jason Mraz, “Love me tender” dan “Can’t help falling in love”, nyanyian Elvis Presley.
Menurut Sandra lagi, dia lebih gemarkan gitar tetapi ketika bekerja dengan pesakit yang mengalami strok, dia akan menggunakan alat muzik seperti ‘drum’ dan ‘keyboard’.
Walaupun bekerja di bidang yang tidak dikenali oleh masyarakat Malaysia namun, Sandra mempunyai ramai pesakit yang mendapat banyak manfaat daripada terapi muzik.
“Semasa di Amerika Syarikat, saya mempunyai pesakit berusia 14 tahun yang mengalami serangan jantung dan strok “cerebellum” kiri. Dia tidak dapat berkomunikasi dengan siapa pun dan tidak dapat melakukan apa-apa pun.
“Saya belajar lagu artis kegemarannya dan memainkan di sisi katilnya. Dia kemudian mula menangis. Ini menunjukkan bahawa ingatannya masih ada walaupun mengalami strok. Ini juga membuktikan muzik memberi kesedaran kognitif kepada minda,” ujar Sandra.
Sebagai ahli terapi muzik, Sandra amat menyokong akan pentingnya pembelajaran muzik dalam kehidupan.
Dia menjelaskan bahawa banyak kajian menunjukkan bahawa individu yang bermain muzik mempunyai korpus “callosom” yang jauh lebih besar, (jalur gentian saraf luas yang menghubungkan dua belahan otak) daripada mereka yang tidak bermain muzik.
“Bahagian ini bertanggungjawab untuk memindahkan maklumat dari hemisfera kiri ke hemisfera kanan,” katanya sambil menambah bahawa kajian juga menunjukkan terdapat kemungkinan 60% lebih rendah untuk dijangkiti gangguan neurokognitif seperti demensia dan Alzheimer di antara mereka yang memainkan alat muzik.
Ujar Sandra, walaupun kursus terapi muzik agak mahal dan memerlukan jangka waktu sehingga lima tahun untuk diselesaikan, namun kerjaya sebagai ahli terapi muzik amat diperlukan di negara ini.
“Malah, kesedaran pentingnya peranan muzik dalam kehidupan seharian seseorang perlu diterapkan kepada masyarakat. Muzik bukan sekadar hiburan tetapi ia juga merupakan terapi untuk tubuh, minda dan jiwa,” akhiri Sandra.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com