KUALA LUMPUR: Jasa dan sumbangan bekas ketua hakim negara, Mohamed Salleh Abas, yang meninggal dunia hari ini pada usia 91 tahun, terhadap perundangan Malaysia akan terus dikenang pengamal undang-undang.
Beliau meninggal dunia akibat pneumonia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 3.20 pagi.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menyifatkan pemergian Allahyarham kehilangan besar kepada profesion perundangan negara.
“Allahyarham Mohamed Salleh memberikan sumbangan yang banyak kepada badan kehakiman Malaysia sewaktu beliau menjadi ketua hakim negara.
“Pemergian Allahyarham tentunya satu kehilangan besar terutama kepada pengamal undang-undang dan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.
Bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif berkata, Salleh adalah tokoh Malaysia yang tersohor dan banyak kejayaan serta sumbangan Allahyarham kepada negara didokumentasikan dengan baik, terutama ketika menjadi peguam cara negara di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Raus berkata, sebagai hakim Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) dan kemudian ketua hakim negara, Salleh menulis beberapa penghakiman bersejarah.
“Penghakimannya mencerminkan kebebasan badan kehakiman disertai kejelasan undang-undang serta kebijaksanaan analisis yang menyumbang kepada sistem perundangan dan kehakiman Malaysia. Saya mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga Allahyarham.”
Berkongsi pandangan sama, seorang lagi bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria berkata, Salleh terkenal dengan dedikasi serta pemikiran tajam dan sentiasa dihormati mereka yang pernah berkhidmat dengannya.
“Sebagai seorang hakim dan kemudian ketua hakim negara, beliau mendengar banyak kes bersejarah dan selepas dipecat daripada jawatan ketua hakim negara, Allahyarham meneruskan khidmatnya sebagai pengamal undang-undang.
“Pemergian Allahyarham bukan saja dirasai pengamal undang-undang, malah semua yang mengenali beliau,” katanya yang amat dukacita mendengar berita pemergian Salleh pagi tadi.
Arifin mengenali Salleh pada 1974 selepas pulang daripada mengikuti pengajian di luar negara dan Allahyarham menggalakkannya menceburi bidang perkhidmatan perundangan serta kehakiman, yang beliau akur.
Mengimbas kenangan bertugas dengan Salleh, bekas ketua hakim negara, Zaki Azmi berkata, Allahyarham ialah ketuanya, dan orang yang jujur serta berpengetahuan luas.
“Ketika itu, saya bertugas di Jabatan Peguam Negara dan semua orang takutkan beliau. Walaupun beliau seorang yang tegas, saya amat menghormati dan mengaguminya.”
Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali berkata, Salleh adalah mentor dan ketuanya ketika Allahyarham menjadi peguam cara negara.
“Walaupun beliau adalah ketua yang tegas, beliau seorang yang baik dan berhati mulia. Saya masih ingat pernah meminta beliau bersidang semasa majlis saya dipanggil masuk ke Majlis Peguam Malaysia pada 1982. Ketika itu, beliau adalah hakim Mahkamah Agung, namun beliau bersetuju dan bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu.
“Kemudian semasa beliau berdepan tribunal memecatnya, saya secara peribadi menghubungi Allahyarham dan menasihatinya menghadiri tribunal itu. Beliau enggan dan bertegas tribunal itu tidak dibentuk dengan betul. Selepas itu, seperti yang terdapat dalam lipatan sejarah, Allahyarham diberikan keadilan sewajarnya dan kedudukan beliau dipulihkan serta diberikan pampasan.”
Apandi turut menyifatkan Salleh sebagai individu berpegang teguh kepada prinsip, jujur, berintegriti tinggi dan bertakwa.
“Satu penghormatan untuk saya mengenali dan bekerja di bawah beliau. Kita kehilangan seorang yang benar-benar jujur. Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang solihin.”
Sementara itu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram berkata, pemergian Salleh meninggalkan ruang kosong besar dalam profesion perundangan.
Katanya, ketika menjadi peguam cara negara, Salleh menerajui Jabatan Peguam Negara dengan begitu profesional sehingga tiada ahli politik yang berani menggunakan pengaruh mereka ke atas mana-mana hakim.
“Ketika bersidang, beliau amat konservatif apabila berdepan isu berkaitan kebebasan peribadi dan bersuara. Setakat yang saya ingat, beliau sentiasa melindungi badan eksekutif daripada dicabar mana-mana rakyat.
“Penghakiman beliau dalam kes kerajaan Malaysia menentang Lim Kit Siang terus menimbulkan masalah besar kepada mana-mana rakyat yang ingin mencabar kesahihan tindakan badan eksekutif.
“Beliau kembali menjadi pengamal undang-undang dan peguam hebat. Pernah berdepan dengannya dalam kes sivil mahupun jenayah, saya boleh katakan dengan penuh yakin beliau adalah peguam bijaksana. Sudah tentu kehilangan beliau amat dirasai,” kata hakim bersara itu.
Seorang lagi peguam terkenal, Muhammad Shafee Abdullah turut menyifatkan Salleh seorang yang rajin, bijak tetapi konservatif dan tegas.
“Saya adalah satu-satunya pegawai junior yang dapat bertemu (Allahyarham) Tun untuk mendapatkan pandangan. Tun akan mendengar dengan penuh teliti dan sedia membincangkan isu perundangan. Saya boleh katakan dengan penuh keyakinan Tun seorang yang tidak korup dan manusia paling jujur pernah saya jumpa sepanjang hayat saya.”
Shafee berkata, Allahyarham melatih ramai orang agar mereka memiliki keberanian dan memelihara maruah diri.
“Beliau bertubuh kecil, tetapi adalah gergasi dalam undang-undang dan keadilan. Saya mengenali Tun ketika menyertai Jabatan Peguam Negara pada 1977 sebagai timbalan pendakwa raya (DPP).
“Saya diberikan bilik di bahagian yang sama dengan DPP lain. Ketika itu, kami berada di bangunan Sultan Abdul Samad (di mana terletaknya menara jam dan bertentangan Kelab Diraja Selangor di Kuala Lumpur).
“Ketika itu, beliau adalah peguam cara negara. Saya dapat melihat beliau setiap hari kerana pejabatnya berhampiran perpustakaan Jabatan Peguam Negara. Beliau melakukan penyelidikan sendiri dan akan berada di perpustakaan sehingga lewat malam, terutama ketika mendengar kes-kes besar.”