Site icon Malaysia now

Sabah rugi lebih RM450 juta akibat kecurian air, elektrik

Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) berkata Sabah alami kerugian ratusan juta ringgit akibat kecurian bekalan air dan elektrik.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan agensi berkaitan mengalami kerugian lebih RM450 juta akibat kecurian bekalan air dan elektrik sejak 2010 hingga kini, sidang Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Daripada jumlah itu RM342 juta adalah kerugian akibat penyambungan bekalan air secara haram, manakala selebihnya melibatkan kecurian bekalan elektrik, kata Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin (BN-Lamag).

Beliau berkata kecurian bekalan elektrik pula melibatkan penyambungan haram elektrik terutama di kawasan setinggan dengan kerugian RM90 juta, manakala 3,408 kes usikan meter elektrik dikesan mengakibatkan kerugian RM24.7 juta.

“Bayangkan duit ini jika dikumpul apa boleh kita lakukan untuk rakyat…Rakyat berhak dapatkan bekalan air bersih dan elektrik secara konsisten. Beri saya lima tahun di kementerian (kerja raya) saya akan selesaikan masalah ini.

“Ini (penyambungan haram) tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengganggu bekalan air dan elektrik untuk rakyat secara keseluruhan,” katanya menjawab soalan lisan Aliakbar Gulasan (ADUN lantikan) mengenai jumlah kerugian akibat kecurian bekalan dan langkah diambil bagi mengatasinya.

Bagi mengatasi masalah kecurian air, Jabatan Air Negeri Sabah menguatkuasakan tindakan mengikut peruntukan Enakmen Bekalan Air antaranya pemotongan sambungan haram secara bersepadu, mengenakan kompaun, dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Bagi mengatasi masalah kecurian bekalan elektrik, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjalankan pendekatan pemotongan sambungan haram, kempen kesedaran awam, dan membekal elektrik dengan kaedah bekalan pukal melalui pengedar kuasa bebas (IPD) seperti di Sandakan dan Labuan.

“Bagi membendung kes usikan meter, SESB juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengekang aktiviti dalang yang menawarkan perkhidmatan pengusikan meter selain mengadakan kerjasama dengan media tempatan untuk program kesedaran,” katanya.

Pemeriksaan meter secara rutin bagi pengguna tenaga biasa dan pengguna tenaga dalam jumlah yang besar juga dilaksanakan selain menjalankan operasi serbuan bersama Suruhanjaya Tenaga dan Penyelesaian Laporan Ketidakaturan dan Laporan Luar Biasa yang dilaporkan, katanya.