Site icon Malaysia now

Sabah mahu manfat sama seperti Sarawak daripada Petronas, kata Jeffrey

Sabah dijangka mengutip cukai jualan negeri ke atas produk petroleum sebanyak RM1.25 bilion atau 27.9% daripada keseluruhan hasil negeri tahun depan. (Gambar AFP)

KOTA KINABALU: Sabah mahukan jumlah cukai jualan negeri yang sama diberikan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada Sarawak ke atas sumber minyak dan gasnya, kata Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata, kerajaan Sabah akan memastikan Petronas memberikan jumlah yang tidak rendah kepada Sabah berbanding Sarawak.

Pada 7 Dis, Sarawak menandatangani perjanjian komersial dengan Petronas yang membolehkan kerajaan negeri, melalui anak syarikatnya Petroleum Sarawak Berhad (Petros) memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan syarikat minyak negara itu.

“Kami jangka Sabah akan menerima jumlah yang tidak kurang daripada Sarawak kerana kami tidak minta kurang. Kalau dapat lebih, itu lagi bagus,” kata Jeffrey kepada pemberita selepas pelancaran Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Putatan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Sabah bakal menerima jumlah yang sama seperti Sarawak apabila rundingan dengan Petronas itu selesai.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Petronas akan bertemu dengan kerajaan Sabah untuk memulakan rundingan segera bagi tujuan yang sama (perjanjian komersial dengan Petronas).

Jeffrey yang juga presiden STAR berkata, rundingan antara kerajaan Sabah dan Petronas dijangka diadakan pada awal tahun depan.

Sabah dijangka mengutip cukai jualan negeri ke atas produk petroleum sebanyak RM1.25 bilion atau 27.9% daripada keseluruhan hasil negeri pada tahun depan.