Site icon Malaysia now

Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar AS minggu depan

Minggu ini,ringgit khususnya, mencapai paras paling kukuh berbanding dolar AS sejak Julai 2018 kepada 4.0483 semalam, sekali gus mencatatkan keuntungan minggu ketujuh berturut-turut.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan aliran menaik pada minggu depan, untuk mencecah paras selesa 4.05 sebelum mencapai tahap psikologi terpenting pada 4.00 berbanding dolar AS, kata seorang penganalisis.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, selera risiko pelabur akan terus dipengaruhi oleh kemajuan penyebaran vaksin Covid-19 dalam ekonomi utama, termasuk perkembangan berkaitan dengan rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS) yang baru.

“Sekiranya Demokrat dan Republikan bersetuju dengan perjanjian yang akan dibuat pada minggu akan datang, ini boleh menetapkan pentas untuk kenaikan Krismas dan mendorong penanda aras saham kepada rekod tertinggi baru, yang semestinya memberi sokongan kepada aset risiko yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, ringgit mungkin perlu berehat seketika selepas merekodkan pendakian yang cemerlang sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang boleh mengakibatkan ia meleset sedikit ke arah 4.07 berbanding dolar AS.

Tambahnya, mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang mungkin menghasilkan lebih banyak petunjuk mengenai rancangan Rizab Persekutuan untuk menyokong ekonomi AS.

“Isyarat sedemikian boleh memberikan lebih banyak tekanan ke atas dolar AS sambil membenarkan lebih banyak pengukuhan kepada sekumpulan tukaran asing lain,” kata Tan.

Minggu ini, ringgit terutamanya, mencapai paras paling kukuh berbanding dolar AS sejak Julai 2018 kepada 4.0483 semalam, sekali gus mencatatkan keuntungan bagi minggu ketujuh berturut-turut.

Lonjakan niaga hadapan Brent melebihi USD50 setong buat kali pertama sejak Mac menjadi rangsangan utama kepada ringgit, dengan sentimen risiko dan dolar AS yang melemah memberikan kelebihan kepada ringgit.

Tan berkata, pengukuhan ringgit turut mampu mengetepikan kesan pengeluaran perindustrian Malaysia yang lebih lemah daripada jangkaan kerana faktor luaran terus bertindak sebagai pemacu utama.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit adalah lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.0500/0550 berbanding 4.0580/0620 yang direkodkan semasa minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih baik berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0301/0332 daripada 3.0461/0498 dan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.3537/3585 daripada 5.4698/4772.

Ringgit juga menokok berbanding euro kepada 4.9074/9122 daripada 4.9366/9430 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8927/8964 daripada 3.9023/9080.