Site icon Malaysia now

Ramasamy ajar Najib berkait hak air mentah

P Ramasamy mengingatkan Najib Razak yang penggunaan air mentah Pulau Pinang dari Sungai Muda berbeza dengan Selangor dan Melaka yang mendapatkan bekalan air mentah dari Pahang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy membidas Najib Razak berhubung isu membayar Kedah untuk sumber air mentah, dengan mempersoalkan pengetahuan bekas perdana menteri itu mengenai hak negeri terbabit menggunakan air dari sungai.

Ini selepas Najib bercakap mengenai isu Pulau Pinang harus membayar Kedah untuk sumber air mentahnya akibat bantahan negeri itu terhadap rancangan perlombongan di Ulu Muda, Kedah yang menjadi tadahan air untuk negeri itu, Pulau Pinang dan Perlis.

Minggu lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menuntut Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun kepada Kedah sebagai pampasan menggunakan air mentah dari sempadannya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menolak tuntutan itu.

Najib dilaporkan berkata, tidak munasabah untuk Pulau Pinang membayar pampasan kepada Kedah kerana Melaka dan Selangor turut membayar Pahang untuk bekalan air mentah mereka.

Ramasamy berkata, Najib tidak memahami konsep hak air Riparian, di mana pemilik tanah berhak menggunakan air dari sungai yang bersempadanan dengan tanah itu.

“Hanya apabila negeri ini berkongsi jalan air sama dalam bentuk sungai, mereka berhak ke atas kepentingan dalam sistem air itu.”

Dalam kes Melaka dan Selangor, Ramasamy berkata, mereka perlu membayar Pahang untuk bekalan air kerana kos yang timbul daripada mengangkut dan merawat air, serta mereka tidak mempunyai hak Riparian.

Ramasamy berkata, ini berbeza dengan Pulau Pinang yang mengambil 80% air dari Sungai Muda yang berasal dari Ulu Muda dan merupakan penanda sempadan untuk kedua-dua negeri itu.

“Dalam kata lain, Pulau Pinang berhak mengambil air dari bahagiannya, sama seperti Kedah boleh menggunakan air dari bahagiannya.

“Jadi, apa yang Najib katakan?” soalnya sambil menambah Najib sepatutnya tahu mengenai konsep hak Riparian.

Beliau turut membidas Putrajaya mendiamkan diri dalam isu itu.