Site icon Malaysia now

Positif, majoriti kepimpinan setuju gabungan perdana, kata PAS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu bersetuju dengan penubuhan gabungan perdana.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata majoriti kepimpinan bersetuju dengan cadangan penubuhan gabungan perdana bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menganggap cadangan penubuhan gabungan itu sebagai positif.

“Sehingga kini dapati majoriti kepimpinan bersetuju dengan cadangan itu. Cuma bagi merealisasikannya perlu masa sedikit. Apa lagi kita belum tahu bila PRU15,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin mencadangkan, PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersatu bawah gagasan perdana untuk memastikan kemenangan pada PRU15.

Hamzah yang juga setiausaha agung PPBM berkata, gagasan itu harus menggubal “piagam persefahaman politik” untuk meyakinkan rakyat pada keupayaan PN menawarkan kestabilan politik serta dasar berkesan.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno Mohamad Khaled Nordin, menolak cadangan itu dan mempersoalkan keperluan dan motif penubuhan gabungan politik baharu.