Site icon Malaysia now

PM antara individu terawal bakal terima suntikan vaksin COVID-19

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.

Perdana menteri berkata ini akan diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum diberi kepada kumpulan sasaran iaitu golongan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera.

“Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin daripada Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasaran seawal Feb 2021,” katanya, dalam video perkembangan terkini berhubung pemberian vaksin Covid-19 untuk rakyat yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia.

Menurut perdana menteri, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin itu dalam kalangan penerima.

“Sekali lagi saya ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menghayati dan membudayakan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian walaupun setelah kita menerima bekalan dan suntikan vaksin.

“Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telahpun berada dalam komuniti,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kebiasaan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.