PETALING JAYA: Pakatan Harapan harus melupakan hasrat menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) buat masa ini, sebaliknya fokus terhadap pilihan raya umum akan datang untuk memperolehi mandat pengundi, kata seorang Ahli Parlimen DAP.
Wakil rakyat Bangi, Ong Kian Ming, mengeluarkan nasihat susulan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, bahawa bahawa presiden parti, Anwar Ibrahim, masih mampu mendapatkan jumlah Ahli Parlimen yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baharu.
Saifuddin dilaporkan berkata perkara itu boleh dilakukan sama ada melalui Akuan Berkanun (SD) atau melalui Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Ong berkata PH harus melupakan hasrat untuk menawan Putrajaya menerusi kaedah-kaedah yang tidak melibatkan pilihan raya umum.
“Kita harus membiarkan pengundi memilih pada pilihan raya akan datang. Biarkan pengundi menilai antara 22 bulan pemerintahan PH dan rekod pemerintahan kerajaan sedia ada ketika pilihan raya itu nanti.
“Kita harus menggunakan masa yang ada sekarang ini hingga PRU-15 untuk menyatukan pembangkang dan memainkan peranan sebagai penyeimbang,” katanya.
Ong berkata PH tidak memerlukan perubahan kepimpinan namun fokus harus diberikan kepada penyatuan blok pembangkang.
Ong berkata penyatuan 108 Ahli Parlimen pembangkang dalam satu blok akan memastikan barisan utuh dalam menghadapi PRU akan datang.
Menurutnya, pembangkang juga boleh berunding mengenai perjanjian penawaran dan kepercayaan (CSA) dengan Perikatan Nasional (PN), seperti mana yang berlaku di Perak.
“CSA ini akan memastikan Ahli Parlimen pembangkang dan pengundi tidak didiskriminasi menerusi peruntukan yang lebih rendah, selain menghalang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada diperas ugut untuk mengekalkan sokongan Ahli Parlimen.”