Site icon Malaysia now

PKPD di Pusat Koreksional Kamunting mulai esok

Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan mengawal kluster sedia ada dan menghalang penularan kepada banduan lain, kakitangan, ahli keluarga serta komuniti di luar Pusat Koreksional Kamunting. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) di Taiping, Perak mulai esok hingga 12 Jan depan susulan peningkatan kes positif COVID-19.

“Sehingga 24 Dis, Kementerian Kesihatan melaksanakan 1,490 saringan terhadap tahanan dan mendapati 50 daripadanya positif COVID-19.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal kluster sedia ada dan menghalang penularan kepada banduan lain, kakitangan, ahli keluarga serta komuniti di luar KEMTA,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ismail berkata, 142 individu ditahan dan dikompaun atas kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan semalam.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78), tidak memakai pelitup muka (53), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (9) dan lain-lain (2).”

Katanya, 16 pendatang asing tanpa izin ditahan dan tiga kenderaan dirampas menerusi 110 sekatan jalan di seluruh negara semalam.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan, terutamanya di lorong tikus.”